Awas, 'tumbler' diisi air kelapa boleh meletup jika dibiar lama!
JIKA sebelum ini masyarakat biasa menyimpan minuman dalam botol plastik, kini botol besi atau 'tumbler' semakin menjadi pilihan kerana lebih tahan lama dan mudah dibawa ke mana-mana.
Bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat, tumbler bukan sahaja diisi dengan air kosong, malah turut digunakan untuk membawa jus buah termasuk air kelapa bagi memastikan tubuh kekal terhidrat sepanjang hari.
Bagaimanapun siapa sangka, amalan menyimpan air kelapa terlalu lama di dalam tumbler yang sebenarnya boleh mendatangkan risiko.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna menerusi hantaran di laman Threads yang menjelaskan bahawa air kelapa mempunyai kandungan gula dan nutrien yang boleh menyokong pertumbuhan mikroorganisma.
Menurutnya, apabila air kelapa disimpan dalam bekas kedap udara pada suhu ruang untuk tempoh tertentu, proses fermentasi boleh berlaku dan menghasilkan gas karbon dioksida.
“Gas yang terhasil akan terperangkap di dalam tumbler. Lama-kelamaan, tekanan dalam bekas boleh meningkat dan menyebabkan penutup tercabut atau bekas mengalami kerosakan,” jelasnya.
MENARIK DIBACA: Air kelapa banyak khasiat, menyegarkan! Ketahui risiko jika minum berlebih-lebihan
MENARIK DIBACA: Kelapa tampuk merah dipercayai banyak kelebihan, baik untuk pesakit kanser jalani kemoterapi
Selain itu, air kelapa sememangnya mudah mengalami perubahan kualiti jika tidak disimpan pada suhu yang sesuai.
Ini kerana bakteria dan yis merupakan antara mikroorganisma yang dikaitkan dengan air kelapa segar dan ia boleh membiak dengan cepat pada suhu lebih tinggi, sekali gus mempercepatkan kerosakan.
Jadi tak hairanlah, rasa dan bau air kelapa mudah bertukar menjadi masam serta kurang menyenangkan.
“Jika air kelapa sudah berbau masam, rasanya berubah atau bekas kelihatan mengembung, jangan cuba minum. Lebih baik buang bagi mengelakkan risiko kesihatan,” katanya.

Jika masih mahu membawa air kelapa menggunakan tumbler, beberapa perkara ini boleh dipraktikkan:
- Sebaiknya terus diminum dan elakkan disimpan terlalu lama atau berjam-jam pada suhu ruang.
- Pastikan sentiasa sejuk dengan menyimpan dalam peti sejuk atau ditambah ais.
- Jangan simpan jika sudah berubah rasa dan rupa misalnya keluar gelembung atau buih.
- Cuci tumbler selepas digunakan dan jangan biarkan sisa air kelapa melekat bagi elakkan pertumbuhan mikroorganisma.