Teknik cuci beras guna kain cara orang Jepun... Nasi makin sedap, tekstur lebih cantik
MENCUCI beras untuk memasak nasi mungkin mudah tetapi dalam keadaan tertentu beras boleh terpercik dan tercicir keluar, atau terbuang bersama air cucian.
Menariknya di Jepun, terdapat satu kaedah menggunakan beg khas dikenali sebagai 'okome pouch' yang direka untuk memudahkan proses mencuci beras.
Menurut laporan media antarabangsa, beg berkenaan diperbuat daripada bahan seakan kain kasa dan mempunyai tali pada bahagian atas.
Cara menggunakannya juga agak mudah yang mana beras dan air dimasukkan ke dalam beg sebelum ia dicelup kemudian diangkat berulang kali untuk proses mencuci.
Beras kemudian dibilas dan diramas selama kira-kira 15 hingga 30 saat sebelum direndam sekitar 30 minit.

Sepanjang proses berkenaan, beras kekal di dalam beg dan tidak mudah bersepah atau terbuang bersama air cucian.
Dalam satu eksperimen ringkas, nasi yang dihasilkan menggunakan kaedah tersebut dibandingkan dengan nasi yang dicuci secara biasa.
Nasi yang menggunakan 'okome pouch' kelihatan sedikit berkilat dan mempunyai tekstur yang sedap ketika dimakan.
Geseran antara butiran beras ketika proses meramas dikatakan menghasilkan goresan halus pada permukaannya.
MENARIK DIBACA: Masak bolognese, ramai silap teknik ketika sediakan tomato! Beri kesan besar pada rasa
MENARIK DIBACA: Wanita ditegur sebab masak nasi, telur serentak - "Mak aku meninggal sebab salmonella"
Keadaan itu dipercayai membantu haba menembusi butiran beras dengan lebih baik ketika dimasak, sekali gus menghasilkan nasi yang lebih empuk dan berderai.
Selepas digunakan, beg perlu dicuci dan boleh dimasukkan ke dalam mesin pencuci pinggan.
'Okome pouch' dijual pada harga sekitar RM5 di beberapa kedai barangan rumah dan platform e-dagang di Jepun.