Jom kenali 10 jenis cendawan, bukan jenis tiram dan butang saja enak dimakan
CENDAWAN adalah sejenis kulat yang terdiri daripada organ pensporaan yang boleh dimakan.
Tumbuhan ini boleh hidup subur di pelbagai habitat termasuk di atas tanah, kayu reput dan sisa organik lain dengan pelbagai bentuk serta saiz.
Terdapat cendawan yang selamat dimakan seperti cendawan butang dan cendawan tiram, tetapi ada juga yang beracun, seperti Amanita muscaria.
Untuk artikel kali ini, Kuali akan kongsikan 10 jenis cendawan yang bukan sahaja enak dimasak tetapi selamat juga untuk dimakan.

1. Cendawan tiram
Cendawan tiram merupakan tumbuhan yang ditanam secara komersil di seluruh dunia dan sangat popular di Malaysia.
Cendawan ini dipanggil tiram kerana bentuknya terutama pada badan dan kepala dilihat mirip seperti tiram.
Rasanya agak manis, lembut dan juga pejal. Cendawan tiram boleh dimasak menggunakan pelbagai kaedah seperti digoreng, ditumis dan direbus.

2. Cendawan butang
Cendawan butang tumbuh secara semula jadi. Ia dipanggil cendawan butang kerana memiliki bentuk sama seperti butang.
Cendawan ini lazimnya memiliki dua warna iaitu putih dan coklat serta tumbuh di kawasan padang rumput dan ladang-ladang selepas hujan.
Cendawan ini terdapat di sekitar Eropah dan Amerika Utama, namun kini ditanam secara komersial di seluruh dunia.
Teksturnya lembut dan kenyal serta memiliki rasa yang amat sedap.

3. Cendawan tiram raja
Cendawan tiram raja mempunyai batang atau tangkai berdaging putih tebal.
Kepalanya berbentuk payung kecil berwarna coklat serta memiliki teksturnya kenyal dan lembut.
Cendawan tiram raja akan mengeluarkan aroma tersendiri ketika dimasak. Malah, cendawan tiram raja juga dikatakan sangat bermanfaat untuk kesihatan.
Cendawan ini biasanya disajikan dengan pelbagai jenis masakan sama ada digoreng, dibakar atau ditumis.

4. Cendawan busut
Cendawan busut mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit.
Malah, cendawan ini juga biasanya tumbuh di permukaan tanah yang terdapat anai-anai.
MENARIK DIBACA: Garam dan asam jawa bukan sahaja hilangkan bau hanyir, buat ikan atau daging tahan lebih lama
MENARIK DIBACA: [V] Santai hirup kopi di tepi sungai, tempat lepak ideal hilangkan lelah
Cendawan busut kembang di awal pagi dan mati dalam tempoh dua hari. Isi cendawan ini lembut dan mempunyai aroma yang wangi.
Cendawan busut biasanya sedap di masak sayur tumis dan dibuat sup cendawan.

5. Cendawan kukur/kulat sisir
Cendawan kukur atau juga disebut kulat sisir biasanya tumbuh pada batang-batang pokok getah yang telah ditebang atau tumbang.
Cendawan ini berbentuk seakan kipas bersaiz 5 hingga 10 milimeter. Struktur cendawan ini kenyal dan tidak rapuh.
Biasanya cendawan kukur dimasak masak lemak cili api atau pun digoreng. Cendawan kukur ini juga boleh dikeringkan dan disimpan lama.

6. Cendawan tali
Cendawan tali memang jarang ditemukan dan biasanya tumbuh di permukaan tanah yang terdapat anai-anai.
Cendawan ini memiliki saiz kecil iaitu sekitar 20 hingga 30 milimeter sahaja.
Cendawan tali memiliki bentuk payung berwarna putih keperangan. Ia juga mempunyai tangkai atau batang yang panjang sekitar 60 hingga 70 milimeter.
Cendawan jenis ini biasanya dimakan dengan cara digoreng dan direbus.

7. Cendawan shitake
Cendawan shitake banyak ditemui di China, Korea dan Jepun terutama di kawasan pergunungan.
Bentuknya bulat berwarna coklat kehitaman dan mempunyai corak yang cantik.
Rasa cendawan shitake lembut dan memiliki aroma tersendiri.
Malah cendawan shitake tergolong sebagai salah satu cendawan premium.

8. Telinga kera
Cendawan telinga kera juga dikenali sebagai cendawan hitam. Cendawan ini digelar telinga kerana kerana memiliki bentuknya seakan telinga kera.
Tekstrunya lembut dan berwarna coklat, tetapi jika dikeringkan ia akan bertukar menjadi hitam.
Cendawan ini kebiasaanya enak dimasak sup dan lada hitam.

9. Cendawan enokitake
Cendawan enokitake atau juga disebut cendawan enoki dikenali sebagai cendawan musim sejuk kerana ia tumbuh bebas pada suhu rendah.
Cendawan enokitake biasanya akan membiak secara semula jadi pada musim luruh hingga awal musim bunga.
Bentuknya panjang berwarna putih seperti tauge. Teksturnya kenyal-kenyal dan rangup apabila dikunyah. Cendawan ini agak murah di pasaran.

10. Cendawan bunashimeji
Cendawan bunashimeji ini mempunyai dua warna iaitu berwarna coklat dan putih.
Bahagian batangnya berbentuk silinder serta memiliki bau yang wangi. Manakala teksturnya pula lembut, kenyal dan rangup.
Cendawan bunashimeji boleh dimakan mentah dan tidak perlu dibasuh kerana ditanam secara organik.