Tabiat minum 3 liter air gas sehari bawa padah, doktor keluarkan 35 biji batu karang dari pundi kencing
MINUMAN berkarbonat sering menjadi pilihan ramai kerana rasanya manis, menyegarkan dan sangat nikmat diminum terutama ketika cuaca panas.
Namun, di sebalik keenakan dan kesegarannya, minuman ini sebenarnya menyimpan pelbagai risiko kesihatan yang sering dipandang ringan.
Walaupun ramai menyedari akan bahaya ini, godaan rasa manis dan kebiasaan yang terbentuk menyebabkan ramai sukar menjauhkan diri daripada minuman berkarbonat.
Malah ada di antara mereka ketagih dengan minuman berkenaan sehingga menyebabkan pelbagai penyakit seperti diabetes.

Baru-baru ini, terdapat kes mengejutkan apabila seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan membuang 35 biji batu karang daripada bahagian pundi kencing akibat tabiat meminum tiga liter air berkarbonat setiap hari.
Peristiwa ini dikongsikan oleh seorang doktor di Brazil apabila beliau merawat seorang pesakit yang mengalami masalah kesihatan serius akibat pengambilan minuman bergas secara berlebihan.
Dalam satu video dimuat naik di Instagram berjaya meraih lebih 8.5 juta tontonan, pakar urologi, Dr Thales Andrade, menjelaskan pengambilan minuman manis dan bergas secara berlebihan boleh menyebabkan pembentukan batu karang di dalam buah pinggang dan pundi kencing.
MENARIK DIBACA: Nak kulit bayi gebu? Ibu-ibu jangan tinggal 5 makanan ini, boleh amal sepanjang kehamilan
MENARIK DIBACA: Satu gigitan cair di dalam mulut, keenakan putu piring memang tak boleh tolak
Video itu memaparkan Dr Andrade mempamerkan sejumlah batu karang berwarna kuning besar di dalam sebuah bekas selepas selesai menjalankan prosedur pembedahan ke atas pesakit berkenaan.
Menurut pakar urologi itu, minuman berkarbonat mengandungi gula yang sangat tinggi boleh meningkatkan kadar kalsium dalam badan, sekali gus meningkatkan risiko pembentukan batu karang.
Tambahan pula, minuman bergas mengandungi bahan kimia seperti asid fosforik yang menjadikan persekitaran buah pinggang lebih berasid dan menggalakkan pembentukan batu karang.

Batu karang terbentuk daripada kalsium dan bahan buangan lain kemudiannya berkumpul dalam saluran kencing.
Ia boleh menyebabkan kesakitan, loya, muntah, rasa pedih ketika membuang air kecil dan dalam kes tertentu boleh menyebabkan darah dalam air kencing.
Jika tidak dirawat, batu karang boleh bergerak ke pundi kencing dan membawa kepada komplikasi serius seperti kegagalan buah pinggang atau sepsis, iaitu keadaan di mana sistem imun menyerang tisu dan organ tubuh sendiri.
Kes ini menjadi peringatan serius terhadap risiko kesihatan yang boleh timbul akibat pengambilan minuman ringan secara berlebihan dan berpanjangan.