Terliur kalau tengok dalam K-drama, rupanya Jajangmyeon dan kimbap antara 6 makanan ikonik bukan asal Korea
KALAU anda peminat tegar K-drama atau variety show Korea Selatan, pasti perasan mereka banyak memaparkan pelbagai juadah menyelerakan sebagai salah satu cara mempromosikan makanan dan budaya mereka kepada penonton.
Disebabkan itu juga ramai yang terliur tengok selebriti kegemaran anda menikmati makanan yang nampak begitu menyelerakan.
Namun, siapa sangka makanan yang sering disangka berasal dari Korea Selatan itu rupa-rupanya ada di antaranya diadaptasi dari budaya luar.
MENARIK DIBACA: Telur dadar kedai Thai memang sedap lain macam, bancuhan bersama air soda dan kicap bukit rahsianya
MENARIK DIBACA:Tak payah guna serbuk perasa, tumbuk campuran bahan-bahan ini cukup buat nasi goreng bertambah sedap
Jadi, lain kali apabila anda layan K-drama dan nampak makanan sedap, ingat ada di antara juadah dipaparkan bukan 100 peratus berasal dari Korea.
Jom Kuali bongkar rahsia asal-usul beberapa makanan Korea popular yang sering muncul di televisyen.

1. Jajangmyeon
Pernah tengok adegan makan mi hitam pekat yang nampak lazat dalam K-drama? Itulah jajangmyeon salah satu makanan yang cukup ikonik di Korea.
Tapi tahukah anda, sebenarnya ia berasal dari hidangan bernama zhajiangmian di China?
Versi Korea telah diubah suai dengan menggunakan chunjang (pes kacang hitam Korea) dan ditambah daging serta sayuran.
Kini ia menjadi makanan wajib ketika menyambut “Black Day” – hari untuk orang bujang di Korea.

2. Jjampong
Satu lagi hidangan mi yang cukup terkenal adalah jjampong!
Dikenali dengan sup merah pedas penuh dengan makanan laut, mi ini sebenarnya berasal dari komuniti imigran China di Korea dan Jepun.
Versi Korea menggunakan gochugaru (serbuk cili Korea) dan pelbagai ramuan pedas lain menjadikannya lebih kuat dan sesuai dengan citarasa tempatan.
Makan panas-panas waktu hujan, memang padu!

3. Korean corn dog
Corn dog dengan keju meleleh yang ditarik panjang-panjang memang menggoda, kan?
Ia sebenarnya berasal dari Amerika Syarikat, tetapi orang Korea berjaya mengolah snek ini dengan lebih kreatif, maka wajarlah ia menjadi kegilaan ramai.
Popular melalui street food kawasan Myeongdong, corn dog ini selalunya disalut gula, kentang digoreng kecil yang disajikan dengan pelbagai sos.

4. Korean fried chicken
Kalau tengok K-drama, mesti ada adegan makan ayam goreng dengan minuman sejuk berkabordiat.
Tapi jangan salah sangka, ayam goreng ini asalnya dari Amerika Syarikat.
Namun versi Korea lebih istimewa dengan sos pedas, manis bawang putih yang memikat ramai.
Biasanya disajikan juga bersama teokbokk pedas manis, maka tak hairanlah ayam goreng Korea sudah jadi kegilaan di serata dunia.

5. Cheese ramyeon
Mi segera dalam mangkuk bersama telur separuh masak dan lapisan keju cair, siapa tak tergoda kan? Tapi asal usulnya bukan dari Korea sebaliknya dari ramen Jepun.
Namun, Korea berjaya menjadikan ramyeon sebahagian dari budaya harian sebagai makanan jimat, mudah dan sentiasa memuaskan.
Versi dengan keju, telur, kimchi atau sosej sangat popular terutama sekali dalam adegan larut malam dalam drama.

6. Kimbap
Nampak seperti sushi tapi bukan! Kimbap kelihatan seakan-akan seperti sushi Jepun tetapi dengan sentuhan tempatan.
Diisi dengan sayur-sayuran, telur dan daging dan paling penting tiada bahan mentah.
Kimbap sangat sinonim dengan berkelah, bekal sekolah dan juga dalam variety show atau mukbang.
Ada juga versi mini, goreng atau fusion moden dijual di food truck di seluruh Korea.