Tak payah guna serbuk perasa, tumbuk campuran bahan-bahan ini cukup buat nasi goreng bertambah sedap
NASI goreng mungkin kedengaran biasa tapi sebenarnya ada cara untuk menjadikan hidangan ringkas itu berbeza dan enak.
Rahsianya adalah penggunaan rempah segar yang ditumbuk sendiri bagi memastikan rasanya menyerap sempurna dalam setiap butiran nasi.
Tekstur nasi yang tidak melekat selain bahan pelengkap seperti telur, sayur-sayuran turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan sepinggan hidangan lengkap dan menyelerakan.
Memang tak payah guna serbuk perasa untuk sedapkan nasi goreng anda!

Apabila semua bahan digaul rata dan dimasak dengan sempurna, nasi goreng bukan sahaja menyelerakan malah mampu membangkit selera sehingga membuatkan sesiapa sahaja ketagih dan ingin menambah lagi.
Kehadiran protein seperti sotong atau udang menambah keunikan rasa umami laut yang segar, menjadikan hidangan ini lebih istimewa dan menggiurkan.
Jom Kuali kongsikan resipi yang menjadikan rasa nasi goreng ini istimewa.
Bahan-bahan:
- Bawang merah
- Bawang putih
- Lada merah
- Belacan
- Sedikit cili padi hijau
- Sotong atau udang (dibersihkan dan ditos airnya)
- Ikan bilis
- Telur
- Nasi putih
- Garam
- Serbuk kunyit secukup rasa
MENARIK DIBACA:Secawan kopi serendah RM6, ini 5 port kafe harga bajet
MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae
Langkah-langkah penyediaan:
- Tumbuk halus bawang merah, bawang putih, cili merah, cili padi hijau dan belacan.
- Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan asingkan.
- Pecahkan telur ke dalam kuali, kacau sehingga separa masak kemudian hancurkan dan alihkan ke tepi.
- Tumis bahan tumbuk tadi sehingga naik bau dan warna sedikit keperangan.
- Masukkan garam, perasa dan serbuk kunyit secukup rasa untuk menambah keenakan dan warna nasi.
- Masukkan sotong yang telah ditos airnya. Elakkan memasukkan sotong yang masih berair agar nasi tidak menjadi lembik.
- Akhir sekali, masukkan nasi putih dan gaul semua bahan hingga sebati. Biarkan nasi masak sempurna.
- Hidangkan nasi goreng sotong bersama ikan bilis goreng sebagai pelengkap.