Pertama kali sertai pertandingan memasak, Chef John Pathmanaban juara Barilla Pasta Championship Asia... Bakal wakil Malaysia ke peringkat Asia
SELEPAS dua dekad bergelar tukang masak, Chef John Pathmanaban mencipta sejarah apabila muncul juara Barilla Pasta Championship Asia - Peringkat Kebangsaan 2025.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Chef John mewakili Malaysia ke peringkat Akhir Asia pada November depan.
Lebih membanggakan, Chef John bakal berentap bersama lapan lagi cef terbaik dari seluruh rantau Asia bagi merebut gelaran juara.
Mengulas mengenai kejayaan manis itu, Chef John menyifatkannya sebagai pencapaian paling bermakna memandangkan ini merupakan kali pertama beliau menyertai pertandingan masakan.

"Penyertaan dalam Barilla Pasta Championship menjadi pengalaman berharga untuk saya mencabar diri dan mengetengahkan warisan Malaysia melalui sajian.
“Saya sangat berbesar hati kerana diberi peluang mewakili negara ke peringkat serantau," katanya.
Dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Sunway, Chef John mempersembahkan hidangan ciptaannya iaitu Lamb Ragout Penne – gabungan klasik Itali dengan sentuhan rempah India serta cita rasa tempatan.
MENARIK DIBACA: ‘ONO Specialty Coffee & Matcha’ kedai kopi ke-9 terbaik dunia, 2 lagi jenama lokal masuk senarai top 100
MENARIK DIBACA: 6 restoran ini sudah wujud sebelum Malaysia merdeka, masih beroperasi sehingga kini
Sajian itu menampilkan lamb shoulder lembut dimasak bersama sayuran segar seperti bawang, capsicum hijau, cili hijau serta tomato, diperkaya dengan serbuk cili dan garam masala yang diinspirasikan daripada warisan keluarganya.
Walaupun kelihatan sederhana, hidangan ini berjaya memikat hati juri dengan kesegaran bahan, keseimbangan rasa serta kreativiti dalam mengangkat pasta sebagai sajian bertaraf antarabangsa.
Sekadar info, Chef John memulakan kerjaya profesionalnya pada tahun 2001 di Genting Hotel sebelum mengembangkan pengalaman di beberapa restoran ternama.
Kini beliau memegang jawatan Chef De Cuisine di Restoran Quivo, Pavilion Kuala Lumpur.