Loghat Perak angkat nama ‘Anna whats cooking’ dalam bidang masakan... Periuk ‘cast iron’ pelbagai warna paling curi tumpuan!
PENGGUNAAN loghat Perak sebagai medium komunikasi di media sosial ternyata membawa tuah kepada pempengaruh Anna Ayuda Ismail apabila ramai menyukainya.
Setiap video dipaparkan memiliki aura menyenangkan sarat dengan humor ditambah fesyen dipaparkan membuatkan Anna lain daripada influencer sedia ada.
Menerusi media sosialnya iaitu @annawhatscooking, Anna Ayuda menjadikan dapur sebagai tempat eksplorasi rasa, masakan rumah, keikhlasan dan kasih sayang dalam setiap resipi dipaparkan.
Tidak hanya itu, perkahwinan dengan suami yang berdarah Swiss-Spanish iaitu Jose turut memberi kelebihan buat Anna bereksperimen dengan selera yang memberi inspirasi kepada penonton.

Tarikan tanpa rancang
Seperti kebanyakan kisah menarik tercetus ketika negara berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19, kemunculan @annawhatscooking juga serupa.
Cerita Anna, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia bimbang hendak memesan makanan dari luar dan banyak menjadikan ibunya iaitu Hamidah Ngah Abu Bakar sebagai tempat rujukan tentang masakan.
Ibu saudaranya yang dipanggil Aunty Wah juga tempat Anna merujuk tentang resipi keluarga memandangkan wanita itu mempunyai pengalaman 30 tahun mengusahakan restoran di Ipoh, Perak.
MENARIK DIBACA: Keputusan tinggalkan karier doktor akhirnya ada kemanisan, gerai nasi padang pemuda ini kini jadi sebutan ramai
MENARIK DIBACA: Influencer kurus amal ‘lalapan platter’, bukti ulam-ulaman pun boleh turunkan berat badan
“Dari situ timbul minat untuk berkongsi pengetahuan tentang rahsia masakan tradisional kepada pengikut saya.
“Sesi perbualan dengan Aunty Wah pula biasanya tak ubah macam kelas kulinari. Banyak rahsia resipi keluarga dikongsikan bermula daripada rendang hingga sambal.
“Nak dijadikan cerita sebab dah terbiasa berbual dengan Aunty Wah, saya gunakan loghat Perak dalam rakaman suara konten masakan.
“Pengikut saya gelak besar sebab loghat 'Opah' terkeluar dan langsung tak sepadan dengan wajah dan gaya saya,” katanya kepada Kuali.
Disebabkan penggunaan loghat Perak itu diterima baik pengikutnya, Anna Ayuda mengekalkan gaya penyampaiannya itu sebagai penarik.
Saya cuba sertakan belacan dalam kebanyakan menu harian.
ANNA AYUDA
Pembuat kandungan
Tidak hanya Aunty Wah, Anna Ayuda memberitahu ikon fesyen iaitu Ezurin Kyra yang juga sahabat baiknya banyak memberi dorongan agar dia lebih yakin menonjolkan diri dalam setiap video dihasilkan.
Malah Ezurin banyak memberi buah idea dalam menjadikan content dihasilkan bukan sahaja sarat dengan ilmu masakan tetapi menghiburkan.
“Ezurin saran perkongsian rakam proses penuh merangkumi proses memasak dan persediaan lebih menarik berbanding sekadar perkongsian gambar.
“Ternyata, penonton sukakan perkongsian lebih asli dan dekat dengan hampir 121,000 pengikut media sosial saya,” ujarnya.

Penyatuan budaya
Dalam pada itu, Anna Ayuda yang juga seorang editor dan produser program TV di Telemedia Budapest memberitahu biasanya dia akan merancang sehari lebih awal konsep dan resipi sebelum merakam.
“Kadang-kadang idea resipi datang pada waktu malam dan saya akan masak sama ada untuk makan tengah hari atau makan malam.
“Susun atur sajian adalah bahagian paling menyeronokkan tetapi pantas.
“Penyuntingan boleh mengambil masa sekitar satu jam, manakala rakaman suara mengambil masa kira-kira 20 minit pada hari penuh inspirasi,” kongsinya.

Anna Ayuda menekankan konsep masakan menggunakan bahan sihat biarpun untuk sajian berlemak.
Anak kelahiran Perak itu memberitahu memasak menyatukan budaya, berkongsi kasih dan mencipta perubahan positif.
“Ketika bercuti di rumah keluarga suami, saya akan masak aneka jenis kari termasuk kurma ayam, kari ayam pedas dan kari kurang pedas menggunakan rempah dari Barcelona.
“Suami dan bapa mentua saya, ‘Papa’ Juan menggemari semua masakan saya. Keluarga lain lebih suka kari kurang pedas biarpun berpeluh mereka,” kata pengacara program Hello Minda itu.

Latihan profesional di UK
Walaupun berpegang teguh kepada masakan warisan tempatan, Anna Ayuda terdorong mengasah kemahiran memasaknya dengan mendapat pendidikan kulinari formal di Ashburton Chefs Academy di Devon, United Kingdom tahun lalu.
Cerita Anna Ayuda, idea menyertai program kulinari tersebut datang daripada pengarah filem Bernard Chauly selain mendapat rekomendasi daripada bekas Ratu Malaysia, Carmen Cheah.
“Sangkaan saya program itu santai membayangkan penginapan di resort semula jadi dengan sesi memasak ringan dan pembuatan pastri tetapi bertukar jadi sesi 'bootcamp'.
“Tapi apa saya dapat adalah kursus intensif lengkap dengan penilaian sebenar dan tenaga pengajar bertaraf Michelin Star.

“Setiap pagi, saya berjalan kaki mendaki hampir 20 minit untuk naik bas ke akademi tak kurang macam latihan maraton,” kongsinya.
Walaupun penuh tekanan sepanjang sesi latihan, akademi itu membawa transformasi besar baginya dalam dunia kulinari.
Kata Anna Ayuda dia banyak belajar tentang percaya pada naluri, meneroka teknik bebas selain bersikap kreatif menggabungkan kemewahan sajian dengan elemen kulinari moden.
“Ilmu itu diselitkan dalam kandungan disampaikan kepada penonton.
“Dunia kulinari sentiasa dahagakan kelainan biarpun keaslian menjadi pokok kepada penceritaan,” ujarnya yang melakukan proses rakaman dan suntingan sendiri.

Dari dapur ke rumah kucing
Selain resipi dan fesyen Anna Ayuda menjadi perhatian penonton, perkakas dapur dan set pinggan mangkuk digunakannya turut menjadi bualan pengikutnya.
Cerita Anna Ayuda, dia tidak pernah mengulang menggunakan periuk mahupun set pinggan mangkuk dalam setiap videonya.
“Periuk enamel dipilih rapi atau pinggan batu dengan tekstur unik, warna warni koleksi pekakas dapur digunakan semuanya simbolik jiwa saya.
“Tapi saya tetap percaya, kandungan hebat adalah resipi tulus menyentuh hati,” ujarnya.
Namun, jika suatu hari terpaksa melepaskan koleksi dimiliki itu untuk menyelamatkan haiwan atau tujuan kebajikan, Anna Ayuda rela.

Selain sibuk menguruskan dapur, Anna Ayuda juga aktif dalam menyelamatkan kucing jalanan dan menjadi ibu kepada 16 belas anak bulus kesayangan dan dua daripadanya mengidap penyakit fip dan felv.
“Kerja memasak, rakam video mengambil masa dua kali ganda kerana kerenah mereka. Ada kala saya harap mereka boleh tolong masak nasi dan kupas bawang.
“Sejujurnya, mereka beri pengaruh kepada saya untuk lebih fokus dan mengimbangkan masa,” ujarnya yang mengharapkan masyarakat lebih terbuka membantu menyelamatkan haiwan terbiar.
Anna Ayuda juga membuat jualan lelong koleksi khas perkakas dapur dimiliki menerusi platform media sosial @annawhatsshopping, bagi mengumpul dana menolong kucing dan anjing jalanan.