Influencer kurus amal ‘lalapan platter’, bukti ulam-ulaman pun boleh turunkan berat badan

BIASANYA kita akan berpandukan kepada menu negara barat seperti mengamalkan makan lebih sayur-sayuran untuk menurunkan berat badan.
Tanpa disedari, budaya kita sendiri cukup kaya dengan amalan pemakanan sihat termasuk ribuan ulam-ulaman yang boleh dijadikan sebagai menu diet.
Malah kebanyakan ulam-ulaman tersebut lebih enak berbanding salad di barat.

Macam di Indonesia, hidangan dikenali sebagai lalapan platter sedang tular selepas seorang pencipta kandungan dari Indonesia, Marina Tasha mempopularkan hidangan tersebut menerusi laman TikTok miliknya.
Jelas Marina, dia mengamalkan pengambilan lalapan platter sebagai cabaran diet menjelang hari perkahwinannya.
Namun, apa yang mengejutkan, hasilnya mula kelihatan hanya dalam beberapa hari sahaja.
MENARIK DIBACA: Sate kangkung viral di negara jiran, sayur dipanggang bersama sos pedas manis menggoda selera
MENARIK DIBACA: Asalnya gurauan hasil AI, ‘selipar Jepun’ goreng kini jadi kegilaan
"Baru lima hari saya mula makan lalapan platter ini, saya hilang 0.5 peratus lemak badan dan memperoleh 0.2 peratus jisim otot," kongsinya dalam satu video dimuat naik di TikTok.
Menariknya, lalapan platter tidak terhad kepada ayam goreng atau ikan sahaja, Marina mempelbagaikan hidangannya dengan pilihan sayuran dan protein kesukaannya.
Antaranya termasuklah ayam panggang, sirloin steak, sotong dan udang rebus serta lobster sebagai sumber protein.
Selain ulam tradisional, dia juga memasukkan sayur-sayuran barat seperti brokoli, lobak merah, daun saderi dan asparagus.

Malah, influencer itu turut menggantikan nasi kepada sumber karbohidrat lain seperti kentang rebus dan ubi keledek.
Apa yang membuka selera, hidangan itu dimakan bersama sambal sebagai pencicah ulam dan protein.
Gabungan ini bukan sahaja menjadikan hidangan tersebut lebih mesra diet, malah membuktikan bahawa makanan sihat tidak semestinya membosankan.