Kapal cruise mewah tawar pengalaman gastronomi premium, sajian air tangan Chef Wan jadi tarikan
BELAYAR menaiki kapal 'cruise' mewah sememangnya menjadi impian ramai apatah lagi jika disajikan dengan aneka hidangan enak sambil menikmati bayu laut menenangkan.
Lebih istimewa, jika pelayaran tersebut menggabungkan perjalanan laut dengan pengalaman gastronomi premium.
Pelayaran terbaharu StarCruises bertemakan kulinari yang menampilkan cef selebriti, Datuk Chef Wan, di atas kapal persiaran Star Voyager dari 22 hingga 25 Mei lalu menerima sambutan hangat.
Pelayaran selama tiga malam dari Pelabuhan Klang ke Phuket dan Pulau Pinang itu dianjurkan dengan kerjasama restoran De.Wan 1958 sekali gus menawarkan pengalaman gastronomi eksklusif di laut termasuk demonstrasi memasak secara langsung, sesi santai bersama Chef Wan serta hidangan istimewa hasil ciptaannya.

Malam terakhir pelayaran menjadi antara momen paling diingati apabila ramai tetamu beratur panjang di restoran The Lido untuk menikmati hidangan khas Chef Wan selepas sesi demonstrasi masakan beliau.
Restoran atas kapal tersebut turut menyediakan seksyen halal yang diperakui bagi memberi keselesaan kepada pelayar Muslim.
Lebih meriah, Chef Wan turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama para tetamu menjadikan suasana meriah dan meninggalkan pengalaman bermakna buat peserta serta peminatnya.
MENARIK DIBACA: Ibu kongsi gelagat 'anak bertuah' simpan kerang dalam 'freezer' - "Beli segar, kau pergi bunuh"
MENARIK DIBACA: Kapal cruise patuh syariah pertama di Malaysia beroperasi 29 Nov, saji hidangan halal bertaraf 5 bintang
"Kami amat gembira dengan sambutan yang menggalakkan terhadap kepulangan Chef Wan ke atas kapal persiaran Star Voyager.
"Kami berbesar hati dapat mengalu-alukan Chef Wan sekali lagi untuk pelayaran khas musim cuti sekolah dari Pelabuhan Klang ini.

"Pengalaman kulinari kini menjadi elemen penting dalam dunia pelancongan dan kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam mencipta percutian lebih imersif dan bermakna, menyatukan tetamu melalui makanan, budaya dan pengalaman yang dikongsi bersama," kata Presiden StarDream Cruises, Michael Goh.
Star Voyager akan meneruskan pelayaran dari Singapore Cruise Centre, Singapura bermula 31 Mei hingga 26 Jun 2026 dengan pelbagai pilihan destinasi menarik.
Antara yang ditawarkan termasuk pelayaran dua malam ke Pulau Pangkor atau Pulau Tioman, pelayaran tiga malam ke Pulau Pinang serta pelayaran lima malam ke Vietnam yang meliputi Nha Trang dan Ho Chi Minh City.
Pelayaran dari Singapura itu akan terus mengetengahkan gabungan istimewa StarCruises yang merangkumi sajian kulinari, hiburan serta aktiviti mesra keluarga termasuklah menawarkan pengalaman percutian laut yang penuh kenangan kepada para tetamu di rantau ini.
Dilancarkan pada 26 Mac 2025, StarDream Cruises menggabungkan lebih tiga dekad pengalaman pelayaran dengan tawaran StarCruises dan Dream Cruises di Asia dan destinasi sekitarnya.