Ramai rupanya lebih suka buku menu, tak berkenan sistem imbas kod QR
SEIRING perkembangan teknologi, semakin banyak restoran dan kafe menggunakan sistem imbasan kod QR bagi memudahkan pelanggan melihat menu seterusnya membuat pesanan makanan.
Menerusi kaedah itu, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan di atas meja sebelum memilih makanan dan minuman melalui telefon pintar masing-masing.
Walaupun dilihat moden dan praktikal, penggunaan sistem ini rupa-rupanya tidak disenangi semua pelanggan kerana ada yang mengakui lebih selesa menggunakan buku menu fizikal seperti biasa.

Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna Threads yang mempersoalkan sama ada orang ramai lebih menggemari menu fizikal berbanding menu digital yang memerlukan imbasan kod QR.
Menurutnya, pelanggan datang ke restoran bukan sekadar untuk menikmati makanan sebaliknya turut mengharapkan layanan dan perkhidmatan daripada staf premis.
"Siapa di sini lebih suka menu fizikal berbanding menu menggunakan imbasan QR?
"Selain datang untuk makan, kita pergi ke restoran dan kafe untuk mendapatkan perkhidmatan, bukannya melakukan semuanya sendiri. Betul tak?" katanya.
Pandangannya itu mendapat perhatian ramai dengan rata-rata netizen turut bersetuju dan berkongsi pengalaman kurang selesa menggunakan sistem pesanan digital.
MENARIK DIBACA: Geng malas keluar kereta, suka 'drive thru' beli makanan di gerai dibidas! Siap peniaga kena hulur QR
MENARIK DIBACA: Kreatif habis! Wanita hantar resume dalam bentuk kek span, siap ada QR Code
Antara perkara yang dibangkitkan ialah kesukaran golongan warga emas dan kanak-kanak untuk memilih makanan, selain proses membuat pesanan yang dianggap rumit.
Seorang pengguna berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk membuat pesanan melalui kod QR, namun tetap berharap pihak restoran menyediakan menu fizikal bagi memudahkan pelanggan daripada pelbagai peringkat usia.
Ada juga menganggap penggunaan telefon ketika makan sedikit sebanyak mengganggu usaha ibu bapa untuk mendidik anak-anak supaya tidak bermain gajet ketika berada di meja makan.
"Ya Allah, aku paling benci menu QR. Kita larang anak main telefon di meja makan, tetapi apabila mereka nampak kita asyik menatap telefon, mulalah mereka bertanya kenapa mama dan baba boleh pula guna telefon.
"Terpaksa beritahu sedang tengok menu, tetapi anak-anak bukannya faham," tulis seorang netizen.

Selain itu, ada pelanggan berpendapat proses membuat pesanan menggunakan kod QR mengambil masa lebih lama kerana perlu menekan beberapa butang sebelum pesanan berjaya dihantar.
"QR susah. Nak order satu menu je kena tekan banyak butang. Ais/panas, manis/kurang. Kalau fizikal terus order," katanya.
Ternyata rungutan mengenai sistem pesanan QR ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut berlaku pengguna di luar negara.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan seorang wanita dikenali sebagai Krishnapullikuth, dia turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sistem pesanan menggunakan kod QR yang disediakan di sesetengah restoran.

Wanita yang dipercayai berasal dari negara Timur Tengah itu berkata dia hanya mahu datang ke restoran untuk menikmati makanan dengan tenang dan bukannya menghabiskan masa menekan pelbagai butang pada telefon untuk membuat pesanan.
"Ada yang kata cara ini mudah. Mudah?
"Pertama sekali, saya perlu membuka telefon dan memasukkan pelbagai maklumat peribadi yang tidak diperlukan, termasuk memberikan akses kepada lokasi.
"Itu belum lagi jika berlaku gangguan talian internet. Semua ini sangat membuang masa!" luahnya.
Situasi tersebut menunjukkan bahawa meskipun teknologi digital mampu membantu mempercepatkan urusan sesebuah premis, kemudahan yang ditawarkan tidak semestinya memenuhi keselesaan semua pelanggan.