Rupanya paprik kedai Thai sedap sebab guna ramuan rahsia... Campak-campak bahan, siap!
KALAU ke restoran Thailand, antara menu ringkas yang sering menjadi pilihan ramai semestinya paprik ayam.
Bayangkan kuahnya yang pekat dengan gabungan rasa pedas, manis dan masam cukup menyelerakan.
Lebih-lebih lagi apabila dinikmati bersama nasi putih panas, sedar-sedar dah tiga kali tambah.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok dikenali sebagai Ida Hana, terdapat cara mudah untuk menyediakan paprik ayam sendiri di rumah.
Menariknya, resipi ini tidak memerlukan teknik memasak yang rumit.
Cukup sediakan bahan-bahan, tumis dan campak-campak sahaja, siaplah hidangan paprik ayam untuk seisi keluarga.
Jom lihat resipi dan cara penyediaannya.

Bahan-bahan
- 300g isi ayam (dipotong kecil)
- 1 biji bawang Holland (dihiris bulat atau memanjang)
- 3 ulas bawang putih (dicincang)
- 5 biji cili padi (diketuk)
- 1 batang serai (diketuk)
- 4 sudu cili kisar
- 3 sudu sos cili
- 2 sudu sos tiram
- 1 sudu sos ikan
- 5 helai daun limau purut (dikoyakkan)
- 1 batang lobak merah (dihiris serong)
- 5 batang kacang panjang (dipotong sepanjang 2 inci)
- 5 batang baby corn (dibelah dua memanjang)
- ½ sudu teh garam
- ½ sudu teh serbuk pati ayam
- 1 sudu teh gula
- ½ cawan air (atau secukupnya)
- 1 sudu tepung jagung + 2 sudu besar air (dibancuh)
- Minyak masak secukupnya
MENARIK DIBACA: Jangan salah pilih daun limau purut, pastikan bentuk '8' elak masakan jadi pahit
MENARIK DIBACA: Wanita anggap rakan lelaki bawa bekal paprik 'ditipu' isteri sendiri - "Macam masak kicap je"
Cara penyediaan
- Panaskan minyak dan goreng isi ayam yang sudah dipotong kecil sehingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
- Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang Holland, bawang putih, cili padi dan serai sehingga naik bau serta sedikit keperangan.
- Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
- Kemudian, masukkan sos cili, sos tiram, sos ikan dan air. Kacau sehingga sebati.
- Masukkan daun limau purut, garam, serbuk pati ayam dan gula. Kacau rata.
- Tambahkan lobak merah, kacang panjang dan baby corn. Masukkan juga isi ayam yang digoreng tadi.
- Biarkan sehingga ayam dan sayur masak.
- Akhir sekali, tuangkan bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga kuah menjadi pekat.
- Tutup api dan hidangkan paprik ayam bersama nasi putih panas.