Jangan salah pilih daun limau purut, pastikan bentuk '8' elak masakan jadi pahit
DAUN limau purut sering menjadi antara rencah tambahan untuk melazatkan lagi masakan, selain memberikan aroma menyelerakan.
Selalunya, daun limau purut digunakan dalam masakan seperti tomyam, paprik, asam pedas dan rendang untuk membangkitkan aroma dan rasa tersendiri.
Bagaimanapun ada sesetengah masakan akan terasa pahit kerana daun limau yang digunakan tidak sesuai.
Rupanya terdapat petua mudah yang boleh diamalkan ketika memilih daun limau purut agar masakan kekal harum tanpa rasa pahit yang mengganggu selera.

Salah satu petua yang sering diamalkan oleh mereka yang gemar memasak ialah memilih daun limau purut yang mempunyai bentuk menyerupai angka 8.
Daun jenis ini biasanya terdiri daripada dua bahagian daun yang seimbang dan jelas kelihatan seperti angka 8.
Daun ini dipercayai memberikan aroma yang lebih baik serta kurang menyebabkan rasa pahit dalam masakan.
Ramai juga berpendapat bahawa daun berbentuk angka 8 boleh terus digunakan tanpa perlu membuang urat tengah kerana rasanya lebih 'mesra' untuk masakan.
MENARIK DIBACA: Buat masak lemak cili api letak kayu manis, bunga lawang... Wanita 'angin' resepi dikritik mentua
MENARIK DIBACA: Tak perlu bahan mahal... Air garam jadi rahsia chicken chop, grill lebih juicy!
Ada juga petua yang menyarankan agar mengelakkan daun limau purut yang bentuknya terlalu lebar pada satu bahagian dan tidak seimbang.
Daun seperti ini dikatakan lebih berpotensi menghasilkan rasa pahit walaupun urat tengahnya telah dibuang sebelum dimasukkan ke dalam hidangan.
Tip guna daun limau purut dalam masakan
- Gunakan daun yang masih segar dan berwarna hijau terang.
- Basuh daun terlebih dahulu sebelum digunakan.
- Ronyokkan sedikit daun untuk mengeluarkan aroma sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
- Masukkan daun ketika masakan hampir siap untuk mengekalkan harumnya.
- Jangan gunakan terlalu banyak kerana aromanya agak kuat.