Sambal hijau udang geragau, ringkas tapi menggoda nafsu makan!
BUAT penggemar makanan pedas, sambal hijau pastinya antara versi sambal yang sukar ditolak.
Walaupun nampak 'simple', sambal hijau mempunyai keistimewaan dari segi aromanya tersendiri dan rasa pedas cili yang membuatkan setiap suapan terasa lebih menyelerakan.
Lebih-lebih lagi apabila sambal dimasak sehingga pecah minyak, teksturnya menjadi pekat, berkilat dan cukup menggoda selera.
Paling sedap apabila dinikmati bersama nasi putih panas dan telur goreng.

Kalau mahu lebih 'meriah', boleh juga dipadankan dengan ikan atau ayam goreng, memang cukup membuka selera!
Jika anda suka makan sambal, bolehlah buat dalam kuantiti lebih untuk dijadikan stok di rumah seperti yang dikongsi oleh emymellisa di Threads.
Bahan-bahan
- Minyak masak secukupnya
- Bawang besar
- Bawang putih
- Cili padi kampung
- Lada benggala
- Udang geragau
- Sos tiram
- Garam secukup rasa
- Asam keping
MENARIK DIBACA: Mana satu bagus? Ini 4 jenis susu mengikut 'ranking', dari biasa hingga terbaik
MENARIK DIBACA: Aroma cengkih di rumah cukup menenangkan, tak perlu lagi bakhoor mahal
Cara-cara penyediaan
- Kisar kasar atau tumbuk bawang besar, bawang putih, cili padi kampung dan lada benggala sehingga menjadi pes.
- Seterusnya, panaskan minyak masak di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan tumis menggunakan api sederhana sehingga naik bau dan layu.
- Apabila bahan tumisan sudah mula masak, masukkan udang geragau dan gaul sehingga sebati dengan bahan kisar.
- Kemudian, tambahkan sos tiram, garam secukup rasa serta asam keping. Kacau rata supaya semua bahan dan perasa bercampur dengan sempurna.
- Teruskan memasak sambal menggunakan api sederhana sehingga air daripada bahan kisar mengering dan minyak mula timbul di permukaan.
- Apabila sambal sudah pekat dan pecah minyak, rasa terlebih dahulu dan sesuaikan perasanya mengikut cita rasa masing-masing.
- Tutup api dan biarkan sambal sedikit sejuk sebelum dipindahkan ke dalam bekas yang sesuai. Sambal hijau pecah minyak sedia untuk dinikmati!