18 tahun simpan jem arwah ibu, biskut gigitan terakhir antara sajian nostalgia dalam peti sejuk
MAKANAN yang tersimpan di dalam peti ais selama bertahun-tahun akan dianggap sudah tidak bernilai dan akan dibuang tanpa teragak-agak.
Berbeza bagi mereka yang kehilangan insan tersayang, makanan pernah dimasak oleh arwah menjadi antara kenangan terakhir yang seboleh-bolehnya mahu disimpan selamanya.
Di Threads, seorang wanita bertanya sama ada ada individu mempunyai pengalaman menyimpan makanan terakhir yang disediakan oleh insan tersayang.
"Saya pernah baca kisah tau, dia (individu berkenaan) simpan lagi makanan terakhir yang dimasak oleh ibunya sebelum ibunya meninggal dunia. Korang ada ke simpan lagi?" tulisnya.

Pertanyaan itu mengundang sebak apabila ramai warga maya tampil menceritakan kisah masing-masing yang masih menyimpan makanan terakhir dimasak oleh ibu sebelum meninggal dunia.
Di ruangan komen, pelbagai kisah dikongsikan netizen yang masih menyimpan makanan peninggalan insan tercinta.
Malah, ada yang sanggup menyimpan makanan tersebut di dalam peti sejuk beku selama bertahun-tahun.
Antara kisah yang mencuri perhatian apabila seorang individu mengakui masih menyimpan jem rambutan buatan arwah ibunya sejak 18 tahun lalu.
"18 tahun dalam peti ais. Usung (bawa) mana pergi. Jem rambutan arwah mak buat," kongsinya.
Ada yang berkongsi pengalaman menyimpan pelbagai jenis makanan yang mempunyai nilai sentimental tersendiri buat mereka.

"Saya simpan tempoyak arwah nenek bagi selama 10 tahun. Saya letak dalam freezer, rasanya dua tahun lepas baru saya guna kot. Setiap kali buka freezer saya tengok tempoyak tu.
"Teh tarik dan biskut gigitan terakhir. Sampai sekarang simpan dalam peti ais.
"Saya still simpan sardin yang arwah ayah saya masak sebelum dia tinggalkan saya. Ayah saya meninggal dua tahun lepas," kongsi beberapa netizen.
Lebih menyentuh perasaan, ada juga yang masih menyimpan makanan dan bahan mentah yang mempunyai kenangan tersendiri bersama arwah ibu dan bapa.
"Ikan tilapia yang arwah ayah mancing dari 2023 hingga 2026 masih ada lagi dalam freezer.
"Mak meninggal 16/3/2024. Yang ada lagi dalam peti ais adalah tempoyak mentah, cili padi mak tanam, ikan mentah last pergi pasar dengan emak dan juga jeruk kedondong mak buat.
"Ketupat palas terakhir ibu. Ibu frozenkan. Aku simpan tiga biji terakhir untuk tiga anak ibu aku," kongsi netizen lagi.