Kaswi cendol tak kurang enak berbanding versi asli, sepotong pasti tak cukup
BOSAN dengan kuih kaswi biasa?
Apa kata cuba cipta kelainan dengan menyediakan kaswi cendol kelapa parut yang bukan sahaja cantik dengan warna hijaunya, malah mempunyai tekstur kenyal serta rasa lemak manis yang cukup menyelerakan.
Gabungan cendol, santan pekat dan aroma pandan menjadikan kuih tradisional ini lebih istimewa.
Ditambah pula dengan taburan kelapa parut putih, setiap gigitan menawarkan rasa lemak dan harum yang pasti membuka selera.
Lebih menarik, resipi ini menggunakan campuran gula merah dan gula pasir untuk menghasilkan rasa manis seimbang.
Cara penyediaannya juga tidak terlalu rumit dan sesuai dicuba sendiri di rumah.

Bahan-bahan
Bahan A
- 20g tepung jagung
- 100g tepung ubi kayu
- 250g tepung beras
- 100g gula merah
- 250g gula pasir
- 600ml air
- 400g cendol
- 500ml santan pekat
- 1 sudu kecil pes pandan
- 1 sudu kecil pewarna hijau
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil air kapur
Bahan B
- 1 biji kelapa parut putih
- 2 helai daun pandan (dipotong kecil)
- Secubit garam
Langkah penyediaan
- Kukus semua bahan B selama 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk.
- Satukan semua bahan A kecuali cendol. Kacau hingga sebati, kemudian tapis adunan.
- Panaskan adunan menggunakan api sederhana sambil dikacau sehingga gula larut. Tutup api.
- Masukkan cendol dan gaul sehingga sebati.
- Sapu sedikit minyak pada loyang berukuran 10 inci. Tuang adunan ke dalam loyang.
- Kukus selama 40 minit atau sehingga kuih masak.
- Setelah masak, biarkan kuih sejuk selama beberapa jam sebelum dipotong.
- Hidangkan bersama kelapa parut yang telah dikukus tadi.