Awas, lutut ayam 'crispy' sekali makan sukar berhenti!
SESEKALI memberanikan diri tukar selera dengan menyediakan lutut ayam goreng rangup pasti memberikan kelainan terhadap suasana kudapan petang keluarga.
Lebih menyelerakan apabila lutut ayam digoreng bersama campuran cili kering, daun limau purut dan bawang putih sekali gus memberikan aroma harum serta rasa pedas yang membangkit selera.
Seorang wanita dikenali sebagai Almiyaz berkongsi resipi mudah menyediakan lutut ayam goreng rangup yang boleh dicuba sendiri di rumah.
Menurutnya, kudapan ini mempunyai rasa enak sehingga membuatkan sesiapa sahaja sukar berhenti menikmatinya.
“Lutut ayam crispy ini sekali makan susah nak berhenti. Jadi ralit,” kongsi wanita berkenaan di Threads.
Bagi yang ingin mencipta kelainan, berikut resipi lutut ayam goreng rangup untuk dijadikan hidangan santai bersama keluarga.

Bahan-bahan
Bahan perapan (dikisar)
- 12 ulas bawang putih
- 2 sudu kecil daun ketumbar
- 5 batang akar ketumbar
- Daun ketumbar secukupnya
Bahan utama
- 3kg lutut ayam
- 3 sudu serbuk kari ayam dan daging
- 3 sudu serbuk cili
- 1 sudu stok ayam
- 2 sudu serbuk lada putih
- 3 sudu gula putih
- 2 sudu sos ikan Thai
- 2 sudu sos tiram
- 2 cawan tepung Gogi
- Bijan putih secukupnya
- Air secukupnya
Bahan tambahan
- Cili kering
- Daun limau purut
- Bawang putih
MENARIK DIBACA: Sotong campur udang goreng kunyit bersama nasi putih, dah tak perlu lauk lain!
MENARIK DIBACA: Jangan salah pilih daun limau purut, pastikan bentuk '8' elak masakan jadi pahit
Langkah penyediaan
- Masukkan bawang putih, daun ketumbar, akar ketumbar dan daun ketumbar ke dalam pengisar. Kisar sehingga halus.
- Bersihkan lutut ayam dan masukkan bahan perapan yang sudah dikisar.
- Tambahkan serbuk kari, serbuk cili, stok ayam, serbuk lada putih, gula putih, sos ikan Thai, sos tiram, tepung Gogi dan bijan putih.
- Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil menggaul semua bahan sehingga sebati dan meliputi lutut ayam.
- Perap lutut ayam selama sekurang-kurangnya satu jam supaya bahan perapan meresap.
- Panaskan minyak secukupnya sebelum menggoreng lutut ayam.
- Goreng lutut ayam sambil dikacau supaya tidak melekat antara satu sama lain.
- Apabila lutut ayam hampir separuh masak, angkat dan toskan minyak.
- Goreng semula lutut ayam untuk kali kedua bagi mendapatkan tekstur yang lebih rangup. Pastikan ayam dimasak sepenuhnya hingga ke bahagian dalam.
- Masukkan cili kering, daun limau purut dan bawang putih ke dalam minyak panas. Goreng seketika sehingga garing dan naik bau.
- Gaulkan bahan gorengan bersama lutut ayam sebelum diangkat dan dihidangkan.
- Lutut ayam goreng rangup ini enak dinikmati ketika masih panas.