Minum kola, makan garam antara tip elak perut meragam dan cirit birit bercuti di 'overseas'
SETIAP kali melancong ke luar negara, perkara yang sering menjadi kebimbangan ramai ialah masalah perut terutamanya keracunan makanan atau cirit birit akibat makan makanan tempatan.
Lebih-lebih lagi apabila berkunjung ke negara yang mempunyai persekitaran, sumber air dan cara penyediaan makanan yang diragui kebersihannya.
Di Threads, seorang wanita menerusi akaun lembaranbandung menarik perhatian ramai apabila berkongsi satu tip ketika melancong ke luar negara iaitu minum minuman berkarbonat kola sebelum makan makanan tempatan.
"Tip travel ke luar negara adalah minum Coca-Cola sebelum makan makanan tempatan.
"Hari itu tengok YouTube dan ada seorang traveller (kaki travel) tu kongsi, dia kata setakat ini berkesan dan perut dia okay," tulisnya.
Menurut wanita itu, dia tertarik untuk mencuba tip berkenaan selepas membaca pengalaman 'kaki travel' tersebut yang mendakwa perutnya berada dalam keadaan baik sepanjang perjalanan dengan mengamalkan tip tersebut.
"Sekian daripada orang yang dah lima ke enam kali keracunan di Jakarta, Bandung. Perit oi perut memulas food poisoning ni lain macam. Jangan lupa bawa ubat charcoal, oral rehydration solution (ORS) dan ubat mual," tambahnya lagi.

Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya tidak ketinggalan berkongsi petua serta pengalaman masing-masing ketika melancong ke luar negara bagi mengelakkan perut meragam.
Sebahagian netizen bersetuju dengan tip berkenaan berdasarkan pengalaman peribadi mereka.
"Mungkin betul juga. Saya minum zero Coke dalam flight dan setakat ini sepanjang berada di negara orang, perut saya okay.
"Betul! Masa kat Indonesia, tiap kali lepas makan kami akan minum Coke atau air mineral yang sudah dimasak sebab nak elak keracunan makanan. Tak berani nak minum air berais dekat sana sebab kotor. Alhamdulillah, setakat ini berkesan!
"Selalu dengar kalau perut kembung, tip dia minum cola untuk mengeluarkan angin. Ini pertama kali dengar tip yang ini pula. Nanti bolehlah cuba," komen beberapa warganet.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian laman advokasi kesihatan, Public Health Malaysia yang tampil menjelaskan dari sudut saintifik berhubung dakwaan bahawa Coca-Cola mampu membantu mencegah keracunan makanan.
Menurutnya, minuman berkarbonat itu sememangnya bersifat berasid, namun tahap keasidan asid perut manusia jauh lebih kuat.
"Coca-Cola memang berasid tapi asid perut kita jauh lebih kuat. Itu pun tak mampu halang semua jangkitan.
"Personal experience is not scientific evidence. Utamakan kebersihan premis dan pilih makanan yang dimasak sempurna," demikian nasihat dan saranan laman tersebut.

Dalam pada itu, terdapat juga warganet yang berkongsi petua lain yang diamalkan keluarga masing-masing termasuk mengambil sedikit garam sebelum menjamah makanan.
"Ikut sunah Nabi. Kalau tinggal di luar kawasan, bukan tempat mukim kita tinggal, sebelum makan ambil secubit garam dan makan sebelum ambil makanan lain.
"Satu lagi, masa baru sampai tu letak secubit garam bawah lidah, kemam. My family amalkan. Lately je baru tahu rupanya sunah Nabi juga. Garam sebelum makan, Coke selepas makan," kongsi warganet lagi.
MENARIK DIBACA: Peniaga kongsi ramuan buat serbuk perasa, sesuai untuk pelbagai jenis masakan
MENARIK DIBACA: Wanita risau keracunan makanan di Indonesia, netizen kongsi tip bermula dari pesawat mendarat
Selain itu, ada juga yang mencadangkan pengambilan minuman probiotik seperti Yakult sebagai salah satu persediaan ketika melancong bagi membantu menjaga kesihatan usus.
"Minum Yakult pun okay. Beli satu pek dan minum sebotol setiap pagi atau malam. Alhamdulillah perut tak meragam.
"Lagi satu, pernah terbaca makan yogurt lokal negara tersebut. Entahlah apa alasannya tapi pergi Bandung last year, punyalah jaga makan, tak makan sembarangan, tak makan pedas, tak minum air bancuh, masih cirit birit pedih weh, rasa nak pakai lampin pakai buang," komen netizen lagi.