Wanita kongsi tip simpan ayam, 'seafood' guna beg 'ziplock'... Netizen tegur pencemaran silang
CARA penyimpanan yang teratur penting bagi memastikan bahan mentah mudah dicapai dan ruang peti sejuk beku dapat digunakan dengan lebih optimum.
Seperti dikongsikan seorang wanita, dia memilih untuk mengasingkan bahan mentah seperti ayam, ikan dan udang ke dalam beg plastik berzip atau 'ziplock' sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk beku.
Menerusi video yang dimuat naik di Threads, wanita ini menunjukkan proses membersihkan dan membahagikan bahan mentah kepada beberapa bahagian kecil supaya lebih mudah digunakan ketika memasak.
"Stok sampai habis 2026, cukup la makan seorang," tulisnya berseloroh.

Di ruangan komen, wanita berkenaan menjelaskan kaedah ini lebih praktikal untuk dirinya yang merupakan ibu tunggal dan kebiasaannya menyediakan hidangan dalam kuantiti kecil untuk seorang makan.
Menurutnya, penggunaan bekas makanan kurang sesuai kerana ruang peti sejuk beku miliknya agak terhad, selain perlu menempatkan pelbagai jenis bahan mentah dalam beberapa bahagian.
"Nak letak dalam bekas tak muat 'freezer', peti sejuk saya kecil dah la banyak jenis haiwan, satu haiwan banyak 'portion' pula, memang 'ziplock' untuk kita yang 'single' ni.
"Masak untuk seorang makan, kalau ada tetamu, keluarkan 'double portion', mudah," jelasnya.
MENARIK DIBACA: Nampak bersih tapi banyak kuman, ada tip cuci lesung batu
MENARIK DIBACA: Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
Dia turut berkongsi cara menyusun beg plastik berisi bahan mentah di dalam laci peti sejuk beku dengan mengamalkan kaedah 'first in, first out' (FIFO) atau bahan disimpan lebih awal perlu digunakan terlebih dahulu.
Caranya, stok baharu diletakkan di bahagian bawah atau belakang, manakala stok lama disusun di bahagian atas atau hadapan supaya mudah dicapai ketika memasak.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian degan ramai bersetuju bahawa kaedah membahagikan bahan mentah mengikut bahagian hidangan boleh memudahkan urusan memasak, terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian.
Dalam masa sama, beberapa netizen mengingatkan tentang kepentingan menjaga kebersihan ketika mengendalikan bahan mentah bagi mengelakkan pencemaran silang atau cross-contamination.

"Maaf sekadar berkongsi. Ikan atau makanan laut tak boleh campur dengan ayam waktu cuci. Ayam ada 'Salmonella'. Boleh jadi 'cross-contamination'.
"Betul. 'Even' papan pemotong ayam atau ikan pun tak boleh bercampur. Contoh dah siang ikan atas papan pemotong kemudian tak basuh terus nak siang ayam, kalau ada satu je papan pemotong memang kena cuci dulu baru boleh potong benda lain.
"Letak gula sikit dalam udang, 'confirm' nanti 'defrost' masih 'maintain' seketul-seketul senang nak ambil dan masih segar," antara komen netizen.
Ayam mentah berisiko mengandungi bakteria 'Salmonella' juga menyebabkan keracunan makanan.
Pencemaran silang boleh berlaku apabila bakteria ini berpindah kepada makanan lain melalui tangan, peralatan atau permukaan tercemar.