Mandarin Oriental buka premis kek mewah... Tawar koleksi manisan, roti artisan dan pastri segar
MANDARIN Oriental, Kuala Lumpur secara rasmi membuka kedai kek Mandarin Oriental Cake Shop, destinasi eksklusif yang menawarkan aneka pastri buatan tangan inspirasi daripada keindahan alam semula jadi Malaysia.
Pembukaan ini menandakan legasi seni pembuatan pastri hotel ini diteruskan dengan memperkenalkan kedai kek khusus serta rangkaian produk yang lebih luas untuk dinikmati setiap hari mahupun meraikan sambutan istimewa.
Selain itu, bagi mengangkat lagi identiti budaya tempatan, premis ini turut menerapkan rekaan hiasan dalaman bersumberkan flora dan fauna dan motif burung tempatan, termasuk burung kenyalang yang megah.

Pengurus Besar merangkap Naib Presiden Operasi Kawasan, Anthony Tyler berkata Mandarin Oriental turut menunjukkan komitmen menghargai hasil bumi lokal menerusi pemilihan buah-buahan dan rempah ratus dalam pembuatan kek pastri moden.
“Menerusi pembukaan Mandarin Oriental Cake Shop, kami ingin mewujudkan sebuah destinasi yang meraikan kemahiran seni pembuatan makanan sambil mencerminkan keindahan dan karakter Malaysia.
“Daripada inspirasi di sebalik reka bentuknya hinggalah kepada cita rasa setiap hasil ciptaan, setiap perincian dirancang dengan teliti bagi memberikan pengalaman yang mengujakan pada setiap kunjungan dan suapan,” kongsinya dalam satu kenyataan.

Koleksi istimewa memikat selera
Antara tarikan utama manisan diketengahkan adalah kek istimewa menggabungkan cita rasa klasik dengan moden, Peanut Caramel Cake.
Menariknya, kek ini menampilkan lapisan kek span coklat, ganache coklat, karamel masin dan pisang berperisa vanila yang menghasilkan gabungan rasa kompleks dengan sentuhan kemanisan serta kelembutan yang menyelerakan.
Koleksi kek ini juga didatangkan dalam rekaan unik inspirasi daripada seni bina luaran Menara Berkembar PETRONAS, menghubungkan hasil ciptaan ini dengan salah satu mercu tanda paling ikonik di Kuala Lumpur.
Satu lagi pilihan yang menarik perhatian adalah kek span pistachio dengan krim diplomat vanila coklat putih, puri raspberi bersama susunan raspberi segar dengan kemasan rangup kadaifi, Pistachio Raspberry Cake.
Gabungan bahan-bahan ini memberikan kombinasi tekstur berkrim dengan elemen kekacang dan buah-buahan dalam setiap suapan.
Reka bentuknya terperinci mencerminkan keindahan flora dan fauna yang menjadi identiti visual kedai kek berkenaan.
MENARIK DIBACA: Rebus dengan daun salam, cara hilangkan bau hamis hati lembu
MENARIK DIBACA: Ada cara hilangkan bau hamis otak lembu, paling sedap dibuat gulai
Berbeza pula dengan koleksi praline, penyampaian elemen digunakan lebih kepada membawa pengunjung menyelami kepelbagaian rasa dari kawasan tanah tinggi di Semenanjung Malaysia hingga ke hutan hujan Borneo.
Koleksi ini mengetengahkan bahan-bahan mencerminkan kekayaan hasil semula jadi Malaysia.
Antaranya, penggunaan daun pandan yang lembut dipadankan dengan karamel memberikan rasa mewah.
Tak kurang menarik, kek dihasilkan turut menggunakan keleinan rasa antara padanan strawberi dengan lada hitam Sarawak.
Bahan lain seperti buah tin, coklat susu dan bunga raya turut digunakan bagi melengkapkan koleksi ini.
Setiap praline menawarkan tafsiran moden terhadap kepelbagaian cita rasa serta khazanah botani negara.
Destinasi untuk setiap keraian
Daripada hidangan istimewa pada awal pagi hingga sajian petang, kek sebagai hidangan utama untuk sambutan atau hadiah bermakna buat insan tersayang, Mandarin Oriental Cake Shop menyediakan pilihan bersesuaian untuk pelbagai acara.
Selain kek dan praline, pengunjung boleh menikmati pilihan roti artisan serta pastri segar, termasuk Pistachio Croissant, Raspberry Croissant dan Pain au Chocolat.

Koleksi di kedai kek ini turut merangkumi sourdough buatan tangan serta baguette tradisional Perancis.
Mandarin Oriental Cake Shop juga menawarkan pelbagai pilihan kek bersaiz penuh dan individu, kek entremet serta tart, termasuk pilihan klasik seperti Fresh Fruit Tart dan Pecan Nut Pie.
Produk terpilih turut boleh dipesan secara dalam talian.
Pilihan mufin, biskut, makaron dan jem buatan tangan turut melengkapkan rangkaian produknya, menjadikan kedai kek ini destinasi yang boleh dikunjungi sepanjang hari.