Tular imej x-ray larva cacing penuh badan! Puncanya air, makanan tak dicuci bersih
SEKALI pandang, imej X-ray ini mungkin kelihatan seperti dipenuhi butiran beras yang bertaburan dalam tubuh.
Siapa sangka bintik-bintik putih tersebut sebenarnya merupakan ulat atau larva cacing pita yang telah mengeras dalam otot akibat jangkitan dikenali sebagai sistiserkosis.
Perkongsian seorang lelaki di Threads mengenai imej X-ray seorang pesakit yang mengalami keadaan tersebut mengundang perhatian ramai.
Menurutnya, larva cacing pita boleh tersebar ke beberapa bahagian tubuh termasuk punggung, paha, perut dan belakang.
Malah, ia boleh menjangkiti bahagian mata dan otak serta kekal di dalam badan selama bertahun-tahun sebelum mengeras.
Dalam penjelasannya, dia turut membetulkan salah faham masyarakat mengenai bagaimana jangkitan tersebut boleh berlaku.
Ramai beranggapan seseorang boleh mendapat jangkitan seperti dalam gambar X-ray berkenaan apabila makan daging khinzir yang tidak dimasak sempurna.
Hakikatnya, kedua-dua keadaan tersebut melibatkan proses jangkitan yang berbeza.

Pengambilan daging khinzir yang tidak dimasak sempurna dan mengandungi larva boleh menyebabkan seseorang mendapat cacing dewasa di dalam usus.
Sistiserkosis seperti yang ditunjukkan dalam imej x-ray berkenaan bagaimanpun berlaku apabila seseorang tertelan telur cacing pita.
Telur cacing tersebut pula terlalu halus untuk dilihat dengan mata kasar.
Jelasnya lagi, apabila masuk ke dalam perut seseorang telur akan menetas sebelum larvanya memasuki aliran darah dan bergerak ke pelbagai bahagian tubuh seperti otot, mata serta otak.
Persoalannya, bagaimana telur cacing itu boleh masuk ke dalam badan manusia?
Menerusi perkongsian sama, dia menjelaskan terdapat tiga laluan yang menyebabkan penularan telur cacing tersebut iaitu:
1. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak dibasuh dengan bersih sehingga tercemar dengan telur cacing.
2. Air minuman atau ais yang tidak bersih termasuk yang dihasilkan menggunakan sumber air tercemar.
3. Tangan yang tercemar dengan kotoran kemudian digunakan untuk memegang makanan tanpa dibasuh terlebih dahulu menggunakan sabun.

Justeru, aspek kebersihan makanan dan tangan tidak boleh dipandang ringan dalam usaha mencegah jangkitan.
Lelaki itu turut mengingatkan bahawa langkah pencegahan bukan sekadar memastikan daging dimasak sempurna.
Walaupun amalan tersebut penting untuk mengelakkan jangkitan cacing dewasa dalam usus, kebersihan tangan dan makanan mentah juga perlu diberikan perhatian.
MENARIK DIBACA: Chef Fikree kongsi rahsia bihun goreng sedap... Gaul 'tepi' dulu, baru goreng atas api
MENARIK DIBACA:Peti sejuk susu paling belakang, buah letak depan! Ramai tak sedar 'strategi' pasar raya
Antara langkah yang disarankan termasuk membasuh sayur-sayuran dengan sempurna, tidak menggunakan papan pemotong yang sama untuk daging dan sayur-sayuran serta membasuh tangan menggunakan sabun sebelum makan.
Selain itu, dia turut mengingatkan orang ramai agar mengambil berat tentang pengambilan ubat cacing termasuk mengingati bila kali terakhir mereka mengambilnya.
Menurutnya, perbelanjaan untuk menjaga kesihatan tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang membebankan atau perlu terlalu dijimatkan.