Nasi Kerabu Kelantan kini dilindungi Cap Kolektif, tak boleh letak kubis dan tauge
NASI Kerabu Kelantan kini mempunyai perlindungan identiti tersendiri apabila hidangan tradisional itu didaftarkan sebagai Cap Kolektif di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pendaftaran pada 29 Julai lalu itu bertujuan memastikan keaslian makanan warisan berkenaan terus terpelihara, selain memberi peluang kepada pengusaha tempatan memperkukuh nilai komersial produk mereka.
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata Persatuan Pengusaha Nasi Kerabu Kelantan (PERMEKA) diberi tanggungjawab menyelaras penggunaan cap tersebut, dengan 25 pengusaha dikenal pasti sebagai kumpulan terawal yang berpeluang menggunakannya.
Beliau berkata, penggunaan identiti itu bagaimanapun tertakluk kepada standard penyediaan dan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemilihan beberapa bahan tradisional dalam makanan tersebut.

"Penggunaan ulam-ulaman dan daun herba seperti daun kesum, timun serta selom juga antara ciri yang perlu dikekalkan bagi memastikan Nasi Kerabu Kelantan memiliki identiti tersendiri.
"Kita mahu memastikan standard Nasi Kerabu Kelantan ini terus terpelihara dan tidak dicampur dengan bahan-bahan yang tidak menepati ciri yang ditetapkan," katanya.
Yusnieza Syarmila berkata hanya bahan yang dibenarkan boleh digunakan dalam penyediaan hidangan tersebut termasuk pewarna semula jadi seperti bunga telang manakala penggunaan pewarna tiruan adalah tidak dibenarkan.
MENARIK DIBACA: Peti sejuk susu paling belakang, buah letak depan! Ramai tak sedar 'strategi' pasar raya
MENARIK DIBACA:Salt Bae kerjasama dengan jenama pastri warisan mewah Itali, buka restoran di Ibiza
Penggunaan kubis putih serta tauge turut tidak dibenarkan bagi produk yang menggunakan Cap Kolektif berkenaan.
Pelancaran rasmi inisiatif itu berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 17 November 2026 menerusi kerjasama MyIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) melalui Projek Harta Intelek dan Pelancongan Gastronomi.
Usaha ini dilihat mampu mengangkat Nasi Kerabu Kelantan sebagai produk gastronomi yang mempunyai identiti lebih tersusun, selain memperluas peluang pasaran kepada pengusaha yang mematuhi syarat ditetapkan.
Untuk rekod, Nasi Kerabu telah diiktiraf sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Kebangsaan pada 2009, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hidangan tradisional yang mempunyai nilai warisan negara.