Salt Bae kerjasama dengan jenama pastri warisan mewah Itali, buka restoran di Ibiza
SIAPA sahaja yang tidak mengenali Salt Bae, cef selebriti dari Turkiye yang cukup terkenal dengan gaya ikoniknya menabur garam di atas hidangan daging.
Selain mengusahakan rangkaian restoran mewah Nusr-Et, Salt Bae kini merancang untuk membawa satu nama besar dari dunia pastri Itali ke Ibiza, Sepanyol.
Walaupun beberapa cawangan restoran mewah miliknya di Amerika Syarikat terpaksa ditutup sejak 2024, Salt Bae nampaknya masih belum mahu berhenti mengembangkan empayar perniagaannya.
Dia bakal membawa masuk satu jenama pastri terkenal dari Milan ke Ibiza menerusi kerjasama bersama Pasticceria Cova.
Pasticceria Cova, jenama pastri terkenal dari Milan yang sudah bertapak sejak tahun 1817 bakal membuka cawangan baharunya di pulau berkenaan pada Mei 2027.
Menurut media antarabangsa, jenama yang mempunyai sejarah lebih 200 tahun ini akan beroperasi di Casa Nusret Ibiza, sebuah projek pembangunan mewah milik Salt Bae yang terletak di kawasan tepi laut Ibiza.
Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gökçe mengumumkan kerjasama tersebut menerusi akaun media sosialnya.
Video yang dikongsikan memaparkan dia meraikan perjanjian itu bersama wakil Pasticceria Cova ketika majlis menandatangani kerjasama.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Pasticceria Cova menyifatkan pembukaan cawangan di Ibiza sebagai satu permulaan baharu.
Jenama itu turut menyatakan hasrat untuk membawa tradisi, kemahiran menghasilkan pastri dan budaya layanan mesra dari Milan ke Ibiza.
Kerjasama ini juga dilihat sebagai gabungan dua jenama yang mempunyai persamaan dalam dunia gastronomi dan gaya hidup mewah.
Pasticceria Cova, warisan pastri Itali sejak 1817
Pasticceria Cova diasaskan oleh Antonio Cova pada tahun 1817 yang terletak berhampiran Teatro alla Scala, sebuah gedung opera terkenal di Milan.
Pada awal penubuhannya, jenama terkenal ini beroperasi sebagai sebuah kafe sastera sebelum berkembang menjadi tempat pertemuan golongan elit Itali.
Ia pernah menjadi lokasi pilihan golongan seni, penulis, pemikir dan komposer terkenal seperti Giuseppe Verdi serta Giacomo Puccini.
Pada 1950, premis berkenaan berpindah ke Via Montenapoleone, salah satu kawasan membeli-belah barangan mewah paling terkenal di Milan.
Sejak 2013, jenama ini menjadi sebahagian daripada kumpulan mewah Perancis, LVMH yang turut memiliki jenama antarabangsa terkenal seperti Louis Vuitton, Dior dan Moët & Chandon.
Antara produk popularnya termasuklah panettone buatan tangan, pastri, kek, coklat dan pelbagai manisan tradisional Itali.
Selain itu, Pasticceria Cova turut menawarkan menu sarapan, kopi dan aperitivo iaitu hidangan ringan yang biasanya dinikmati bersama minuman sebelum makan malam.
Kini, jenama tersebut sudah berkembang ke beberapa destinasi antarabangsa termasuk Paris, Hong Kong dan Monte Carlo.

Projek mewah Salt Bae di tepi laut Ibiza
Pembukaan Pasticceria Cova di Ibiza merupakan sebahagian daripada projek pembangunan mewah dikenali sebagai The N Residences Ibiza.
Projek yang dibangunkan oleh Salt Bae ini terletak bersebelahan Ibiza Gran Hotel di antara Avinguda Vuit d’Agost dan kawasan persiaran tepi laut bandar tersebut.
Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM451.68 juta, projek ini bakal menampilkan 51 unit kediaman mewah, empat ruang restoran serta tempat letak kereta bawah tanah yang boleh memuatkan sehingga 80 kenderaan.
MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae
MENARIK DIBACA: Ramai kongsi cara diet ekstrem, berjaya turun 5kg dalam 14 hari... Ambil tahu risikonya!
Selain Pasticceria Cova, projek ini juga dijangka menempatkan sebuah premis daripada kumpulan restoran milik Salt Bae sendiri, Nusr-Et.
Kehadiran jenama pastri terkenal itu menambah satu lagi tarikan dalam projek hospitaliti mewah yang sedang dibangunkan oleh cef terkenal itu.
Pembukaan kedai pastri di Ibiza dijadualkan pada Mei 2027 manakala maklumat lanjut mengenai menu, konsep operasi dan perkhidmatan yang bakal ditawarkan itu bagaimanapun masih belum diumumkan.