Lauk simpan lama dalam peti sejuk punca kanser hati? Pakar perjelas fakta
KECOH dakwaan di media sosial bahawa menyimpan lauk terlalu lama di dalam peti sejuk boleh menyebabkan kanser hati akibat toksin Aflatoksin.
Perkara ini turut mendapat perhatian seorang pakar perubatan, Dr Azue Hamdan yang tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan tular itu menerusi perkongsian di Threads.
"Bila terbaca statement 'simpan lauk lama dalam peti ais - Aflatoxin - kanser hati', rasa nak terbalikkan meja consultation klinik sedangkan saya cuti hari ni.
"Let’s debunk this viral claim. Kesian mak-mak kena guilt trip dengan pseudo science. Tak fasal.

"Verdict saya, misleading. Fesofol, the facts. Kanser hati memang real, menduduki tempat ke-4 kanser paling kerap menyerang lelaki di Malaysia. Dan ya, Aflatoxin sememangnya salah satu penyebab kanser," katanya.
Pakar ini menegaskan bahawa Aflatoksin memang dikaitkan dengan kanser hati, tetapi keadaan itu tidak bermakna lauk yang disimpan selama beberapa hari di dalam peti sejuk secara automatik menghasilkan toksin tersebut.
Berikut lima fakta dikongsikan pakar ini untuk menjelaskan isu berkenaan Aflatoksin :
1. Aflatoxin berpunca daripada tanaman tercemar
Tanaman tercemar seperti kacang tanah, jagung, dan bijirin punca kehadiran Aflatoksin. Kulat ini hasilkan toksin dengan paling optimum pada suhu 28 darjah celsius hingga 30 darjah celsius.
Malah, ujian ke atas daging luncheon dan keju pada suhu peti sejuk mendapati tiada Aflatoksin dikesan walaupun dibiarkan 12 hari. Bukannya dari lauk semalam dalam peti sejuk.
2. Tak elok simpan lauk lebih tiga hari
Mengikut panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lauk lebihan tidak sepatutnya disimpan di dalam peti sejuk melebihi tiga hari.
Saranan ini untuk mengelakkan keracunan makanan akibat pembiakan bakteria, bukan kanser.
Keracunan makanan boleh mengakibatkan cirit-birit dan muntah, bukan kanser hati.
MENARIK DIBACA: Kempen Jom Beli Produk Malaysia kerjasama Jaya Grocer - KPDN
MENARIK DIBACA: UiTM, PKPS gilap bakat keusahawanan mahasiswa menerusi Dapur Ehsan
3. Kacang tanah antara sumber utama aflatoksin
Berdasarkan pendedahan Aflatoksin di Malaysia, dianggarkan sekitar 12.4 peratus hingga 17 peratus kes kanser hati dikaitkan dengan toksin Aflatoksin.
Pakar ini menegaskan sumber utama toksin berkenaan adalah dietari seperti kacang tanah dan ia selalunya bertindak sebagai faktor bersama dengan jangkitan Hepatitis B.
4. Punca utama kanser hati di Malaysia
Penyebab nombor satu adalah jangkitan kronik Hepatitis B.
Punca kedua semakin merisaukan adalah hati berlemak akibat masalah obesiti dan diabetes.
Ini diikuti oleh Hepatitis C dan juga pengambilan alkohol.

5. Cegah kanser hati
Bagi mencegah kanser ini masyarakat perlu mengambil vaksin Hepatitis B dan saringan kesihatan.
Kawal berat badan dan kencing manis untuk elakkan masalah hati berlemak.
Buang kacang tanah atau bijirin berkulat.
Lebihan lauk perlu dipanaskan pada suhu 74 darjah celsius untuk elak keracunan makanan.