Suka ambil 'dessert' lepas makan, risiko Alzheimer meningkat 69 peratus - Kajian
TABIAT menikmati makanan dan minuman manis (dessert) selepas makan mungkin sudah menjadi kebiasaan untuk kebanyakan orang.
Ada yang merasakan hidangan belum lengkap tanpa sesuatu yang manis sama ada kek, donat, aiskrim mahupun minuman berperisa.
Tidak kurang juga yang menjadikan amalan tersebut sebagai rutin setiap kali selesai menikmati hidangan utama tanpa memikirkan jumlah gula diambil.
Di Threads, perkongsian Dr. Rizal Abu Bakar menarik perhatian ramai apabila beliau mendedahkan kajian peningkatan paras gula dalam darah selepas makan dengan risiko penyakit demensia.
Menurutnya, pengambilan makanan dan minuman manis selepas makan dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia sebanyak 69 peratus.

"Makan dan minum benda-benda manis selepas makan berpotensi naikkan risiko dementia sebanyak 69 peratus.
"Contohnya dah makan nasi, pergi pula 'balun' donat. Sedut pula teh ais. Ini kajian pakar genetik dari Universiti of Liverpool," katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kajian diketuai penyelidik dari universiti tersebut mendapati individu yang mengalami peningkatan paras gula dalam darah selepas makan mempunyai risiko 69 peratus lebih tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Diabetes, Obesity and Metabolism itu menggunakan data UK Biobank melibatkan lebih 350,000 individu berusia antara 40 hingga 69 tahun.
MENARIK DIBACA: Balik dari luar negara, terkejut semua makanan 'dimaniskan'... Deria rasa orang Malaysia jadi bualan
MENARIK DIBACA:Buang kulat pada roti, makan bahagian masih elok... Selamat atau tidak?
Pasukan penyelidik menganalisis data genetik peserta dengan memberi tumpuan kepada beberapa penanda berkaitan pemprosesan gula dalam badan termasuk paras glukosa ketika berpuasa, paras insulin dan paras gula dalam darah dua jam selepas makan.
Hasil kajian mendapati individu yang mempunyai paras gula darah lebih tinggi selepas makan atau dikenali sebagai postprandial hyperglycemi mempunyai risiko 69 peratus lebih tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer.
Kajian ini mendapati peningkatan risiko tersebut bukan disebabkan oleh perubahan saiz otak atau kerosakan pada bahagian tertentu dalam otak.
Ini bermakna, masih ada faktor lain yang mungkin mempengaruhi risiko penyakit Alzheimer.

Penulis utama kajian, Dr Andrew Mason, berkata penemuan ini boleh membantu penyelidik mencari cara untuk mencegah penyakit Alzheimer pada masa hadapan.
Antaranya, dengan memastikan paras gula dalam darah sentiasa terkawal, termasuk selepas makan.
Sementara itu, penulis kanan kajian, Dr Vicky Garfield berkata kajian lanjut perlu dilakukan terhadap kumpulan masyarakat yang berbeza untuk memastikan penemuan ini benar-benar tepat.
Penyelidik juga perlu memahami dengan lebih jelas bagaimana paras gula dalam darah boleh mempengaruhi kesihatan otak.
Jika hasil kajian ini disahkan, ia mungkin membantu membuka jalan kepada kaedah baharu untuk mengurangkan risiko demensia khususnya dalam kalangan pesakit diabetes.
Jaga pengambilan gula selepas makan
Kajian ini menunjukkan terdapat risiko paras gula tinggi selepas makan dengan peningkatan Alzheimer meskipun ia tidak bermaksud setiap individu yang makan makanan manis selepas nasi pasti akan mengalami penyakit tersebut.
Penyelidik juga menegaskan bahawa kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.
Apa yang boleh diambil sebagai pengajaran, kita perlu lebih peka terhadap pengambilan gula harian dan tidak menjadikan makanan serta minuman manis sebagai kebiasaan selepas setiap kali makan.