Kulat pada bijirin, rempah dan kekacang boleh jadi punca kanser hati! Terus buang, cuci tak jamin selamat
SEKIRANYA terdapat kulat pada kekacang serta rempah ratus, jangan sekadar buang atau cuci bahagian yang terjejas sahaja.
Perkara ini mungkin dianggap remeh, namun pengambilan makanan yang dicemari kulat tertentu boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, sesetengah kulat boleh menghasilkan toksin berbahaya dikenali sebagai aflatoksin yang mampu meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser hati.
"Aflatoxin ialah sejenis toksin yang dihasilkan oleh kulat tertentu, terutamanya daripada kumpulan Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus," kongsinya.

Antara makanan yang berisiko dicemari aflatoksin ialah kacang tanah, jagung, beras, kekacang dan rempah seperti cili kering.
Apa yang lebih membimbangkan ialah pencemaran aflatoksin tidak semestinya dapat dikenal pasti melalui penglihatan atau bau semata-mata.
"Apabila aflatoksin B1 masuk ke dalam badan, hati akan memprosesnya menjadi bahan reaktif yang boleh merosakkan DNA sel.
"Kerosakan DNA ini boleh menyebabkan mutasi genetik dan meningkatkan risiko kanser hati, khususnya 'hepatocellular carcinoma'," kongsinya.
MENARIK DIBACA: Buang kulat pada roti, makan bahagian masih elok... Selamat atau tidak?
MENARIK DIBACA: Asam keping bantu cili kisar tahan lama dalam peti sejuk, bahaya cuma buang kulat!
Oleh itu, orang ramai disarankan mengambil langkah pencegahan berikut bagi mengurangkan risiko terdedah kepada toksin:-
- Simpan kacang, bijirin dan rempah dalam bekas kedap udara di tempat yang kering dan sejuk.
- Elakkan menyimpan stok makanan terlalu lama dan beli dalam kuantiti yang bersesuaian dengan penggunaan.
- Jangan makan kacang atau bijirin yang berkulat, berubah warna, lembap atau kelihatan rosak. Buang keseluruhan makanan yang terjejas dan bukannya sekadar membuang bahagian berkulat.
- Periksa keadaan makanan sebelum digunakan dan elakkan membeli produk dengan bungkusan yang rosak atau terbuka.
- Jangan fikir memasak boleh menghapuskan semuanya. Aflatoksin agak stabil terhadap haba dan proses memasak biasa tidak semestinya memusnahkannya.