Buang kulat pada roti, makan bahagian masih elok... Selamat atau tidak?
SERING berlaku situasi di mana roti putih yang dibeli tidak sempat dihabiskan dalam tempoh selamat dimakan.
Tanpa sedar, roti sudah pun melepasi tarikh luput dan mula ditumbuhi kulat.
Apabila keadaan ini berlaku, ramai dalam kalangan kita berasa 'sayang' untuk membuang roti kerana enggan membazir.
Apatah lagi jika kulat yang tumbuh tidak banyak dan bahagian lain kelihatan bersih serta boleh dimakan.
Jika anda pernah melakukannya, sebaiknya hentikan amalan ini segera kerana roti yang sudah berkulat sebenarnya tidak selamat dimakan walaupun bahagian tersebut sudah dipotong atau dibuang.
Kulat berkemungkinan sudah merebak ke bahagian dalam roti tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, sesetengah jenis kulat boleh menghasilkan bahan beracun dikenali sebagai mikotoksin, bahkan berisiko menjejaskan kesihatan.
Ini sebab mengapa roti berkulat perlu dibuang keseluruhannya:

1. Kulat boleh merebak bingga ke bahagian dalam roti
Tompok kulat yang kelihatan pada permukaan roti bukan bermakna ia hanya tumbuh di kawasan tersebut sahaja.
Kulat mempunyai struktur halus seperti benang dikenali sebagai miselium dan boleh tumbuh serta menembusi bahagian dalam roti.
Sebab itulah bahagian roti yang masih kelihatan bersih sebenarnya belum tentu bebas daripada kulat.
Jadi, membuang atau memotong bahagian yang berkulat sahaja tidak menjamin roti tersebut selamat untuk dimakan.
MENARIK DIBACA: Dapur penuh stok bahan masak rupanya idaman mak-mak, ramai mengaku ada 'kedai runcit' di rumah
MENARIK DIBACA:Beli barang harian di foodpanda diskaun sehingga 50 peratus! Mudah dan menjimatkan
2. Sesetengah kulat menghasilkan bahan beracun
Selain menyebabkan makanan rosak, sesetengah jenis kulat juga boleh menghasilkan mikotoksin.
Mikotoksin ialah bahan beracun yang boleh mencemarkan makanan dan membahayakan kesihatan apabila masuk ke dalam tubuh.
Apa yang perlu diketahui, bahan ini tidak semestinya boleh dikenal pasti melalui warna, rasa atau bau makanan.
Maksudnya, walaupun roti masih kelihatan elok dan tidak berbau pelik, tidak bermakna roti tersebut selamat untuk dimakan.

3. Membakar semula roti tidak menjamin keselamatannya
Ada yang mungkin beranggapan roti berkulat masih boleh dimakan jika dibakar.
Cara ini sebenarnya tidak menjamin semua pencemaran dapat dihilangkan.
Ini kerana sesetengah jenis mikotoksin boleh tahan terhadap suhu tinggi dan tidak semestinya musnah melalui proses pemanasan biasa.
Justeru membakar roti yang sudah berkulat bukan cara selamat untuk menggunakannya semula.
Apa perlu buat jika roti sudah berkulat?
Jika anda menemui tompok kulat pada roti, tindakan paling selamat ialah membuang keseluruhan roti tersebut.
Jangan hanya memotong bahagian berkulat dan makan bahagian lain yang masih kelihatan bersih.
Elakkan juga daripada memberikan roti tersebut kepada anak.
Memang sayang untuk membuang makanan lebih-lebih lagi jika masih banyak roti yang belum dimakan.
Tapi perlu diingatkan, keselamatan dan kesihatan keluarga perlu diutamakan.
Bagi mengelakkan roti cepat berkulat, simpan roti mengikut arahan pada bungkusan.
Pastikan juga bekas penyimpanan bersih dan kering serta elakkan menyimpan roti di tempat yang lembap.
