5 kafe Malaysia tersenarai 100 Kedai Kopi Terbaik Asia Pasifik, tangga ke-4 pencapaian terbaik
BAGI peminat kopi, menikmati secawan kopi menjadi satu pengalaman cukup mengujakan lebih-lebih lagi jika dapat mencuba hasil bancuhan barista berbakat.
Di Malaysia, kedai kopi moden atau kafe boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan cukup membanggakan apabila lima premis tempatan tersenarai dalam 100 kedai kopi terbaik di rantau Asia Pasifik (Asia-Pacific’s 100 Best Coffee Shops) menerusi anugerah The World's 100 Best Coffee Shops 2026.
Kejayaan paling manis apabila kafe Story of ONO berada di tangga keempat bersama empat lagi kedai kopi tempatan.
Berikut lima kedai kopi Malaysia yang berjaya meraih kedudukan dalam senarai berkenaan.

1. Story of ONO, Petaling Jaya (tempat ke-4)
Menduduki tempat keempat dalam senarai ini, Story of ONO menjadi kedai kopi Malaysia dengan kedudukan terbaik dalam senarai Asia-Pacific’s 100 Best Coffee Shops.
Kafe yang memberi pengkhususan dalam minuman matcha dan kopi ini turut memberi perhatian kepada penyediaan kopi menerusi program kopi diterajui Juara Malaysia Brewers Cup dua kali, Shaun Lee yang turut terlibat di sebalik Curate Coffee Roasters.
Kedudukan tersebut pastinya menjadikan Story of ONO antara nama wajar diberikan perhatian oleh peminat kopi yang mahukan pendekatan tersendiri dalam dunia kopi dan minuman berasaskan teh hijau.

2. Hani Coffee & Roastery, Bangsar (tempat ke-17)
Berada di kedudukan ke-17, Hani Coffee & Roastery turut membuktikan bahawa kedai kopi Malaysia mampu bersaing dalam senarai peringkat Asia Pasifik.
MENARIK DIBACA: Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
MENARIK DIBACA:Sagu mangga isi melimpah, rasa manis berlemak... Setiap suapan cukup nikmat
Kejayaan menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik merupakan satu pencapaian membanggakan, terutama dalam industri yang semakin mendapat perhatian dengan kemunculan pelbagai kafe dan pengusaha kopi baharu.

3. Curate Coffee Roasters, Petaling Jaya (tempat ke-64)
Curate Coffee Roasters pula menduduki tangga ke-64 dalam senarai berkenaan.
Kehadiran Curate Coffee Roasters dalam senarai menunjukkan penglibatan pemain industri tempatan dalam usaha memperkenalkan kopi kepada lebih ramai penggemar.
Bagi mereka berminat mengenali lebih dekat dunia kopi, termasuk proses penyediaan dan kepelbagaian cita rasanya, kedai kopi seperti ini menjadi destinasi bereksperimen cukup mengujakan.

4. Norm Micro Roastery, Pulau Pinang (tempat ke-88)
Norm Micro Roastery turut tersenarai apabila berjaya menduduki tangga ke-88 dalam senarai 100 kedai kopi terbaik Asia Pasifik.
Penyertaannya menambah satu lagi nama tempatan dalam senarai yang menghimpunkan kedai kopi terbaik dari pelbagai lokasi di rantau ini.

5. Coffee Stain, Kuala Lumpur (tempat ke-96)
Melengkapkan senarai lima kedai kopi Malaysia, rantaian kedai kopi Coffee Stain menduduki tangga ke-96.
Berada di penghujung senarai 100 terbaik, pencapaian ini tetap bermakna kerana jenama ini berani dalam mewakili kedai kopi dari Malaysia di peringkat Asia Pasifik.
Kejayaan lima kedai tempatan ini memperlihatkan perkembangan budaya kopi di Malaysia semakin terbuka dan menerima identiti baharu dalam dunia cita rasa kopi.
Apartment Coffee (Singapura), Only Coffee Project Crows Nest (Australia) dan Ult Coffee (Jepun) menduduki tempat tiga teratas dalam senarai.
Sebanyak 18 kedai kopi Australia berada dalam senarai, diikuti Korea Selatan, 13 dan Jepun serta Taiwan masing-masing dengan 11 kafe.
Lebih 3,600 kedai kopi dinilai oleh lebih 260 juri profesional, manakala lebih 220,000 orang mengambil bahagian dalam undian awam.
