Makanan viral, pernah buat ramai FOMO! Kini 'sepi' ibarat lenyap dari bumi
TREND makanan memang sukar dijangka!
Hari ini sesuatu makanan menjadi rebutan, esok muncul pula hidangan baharu mencuri perhatian.
Persoalan seorang individu mengenai makanan yang suatu ketika dahulu terkenal dan viral tetapi kini sudah dilupakan mencuri tumpuan netizen.
“Makanan apa dulu famous atau viral, sekarang dah sendu?” soalnya di Threads.

Antara makanan disebut termasuklah kek tapak kuda, kuih titisan hujan, kentang 'spring' dicucuk menggunakan lidi, Milo kepal dan kopi dalgona.
Berikut adalah senarai makanan yang pernah tular dan membuatkan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia FOMO (fear of missing out).
1. Kek tapak kuda
Kek gulung ini mempunyai bentuk tapak kuda apabila dipotong.
Kek ini biasanya didatangkan dalam lapisan coklat atau Nutella di bahagian tengah, manakala bahagian luar diperbuat daripada kek span lembut.
Makanan ini pernah mendapat sambutan hangat, sehingga ramai peniaga berlumba-lumba menjualnya dalam pelbagai perisa.

2. Kuih titisan hujan (Raindrop Cake)
Titisan hujan adalah pencuci mulut dari Jepun terkenal kerana bentuknya jernih, lutsinar dan persis titisan air.
Ia diperbuat daripada air dan bahan pembentuk gel agar menghasilkan tekstur lembut seperti jeli, dinikmati bersama sirap gula perang serta serbuk kacang soya panggang.
3. Kentang spring
Kentang dipotong secara berlingkar menggunakan alat khas sebelum dicucuk pada lidi panjang ini pernah mencuri tumpuan ramai.
Boleh dikatakan hampir setiap sudut pasar malam atau bazar dipenuhi dengan makanan jalanan yang satu ini.
MENARIK DIBACA: Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
MENARIK DIBACA:Rahsia sandwic telur kedai serbaneka sedap, tahan lama! Buat sendiri puas makan
4. Milo kepal
Milo kepal adalah pencuci mulut berasaskan ais kisar dibentuk menjadi bebola atau gumpalan sebelum disiram dengan susu pekat dan ditaburkan serbuk Milo.
Ada juga penambahan topping seperti coklat, biskut dan aiskrim bagi menjadikan hidangan lebih menarik.

5. Kopi dalgona
Kopi dalgona mula mendapat perhatian ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Minuman ini dihasilkan dengan memukul serbuk kopi segera, gula dan air panas sehingga menjadi buih pekat sebelum diletakkan di atas segelas susu.
6. Cromboloni
Gabungan croissant dan bomboloni menghasilkan pastri berbentuk bulat dengan lapisan luar rangup serta bahagian dalam berinti krim ini pernah mencetuskan fenomena apabila ramai sanggup beratur untuk mendapatkannya.
Antara inti popular termasuk coklat, pistachio, vanila dan pelbagai jenis krim lain.

7. Tanghulu
Tanghulu adalah manisan tradisional dari China terdiri daripada buah-buahan dicucuk pada lidi dan disalut dengan lapisan gula keras.
Strawberi antara paling popular digunakan, selain anggur, kiwi dan buah-buahan lain.
Populariti makanan-makanan ini akhirnya berubah mengikut peredaran masa dan kemunculan trend baharu tapi tidak bermakna semuanya dilupakan memandangkan sajian ini masih mempunyai peminat tersendiri sehingga kini.
