5 jenis buah dan sayur paling sesuai untuk pesakit buah pinggang, diabetes
MUNGKIN ramai tidak sedar makanan yang diambil setiap hari memberi kesan besar terhadap kesihatan termasuk pada buah pinggang.
Pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran yang sesuai bukan sahaja membantu meringankan 'tugas' buah pinggang, malah dapat mencegah daripada berlakunya kerosakan dalam jangka masa panjang.
Walaupun ada beberapa jenis buah dan sayur diketahui baik untuk organ ini, namun pengambilannya masih perlu dikawal bagi mengelak berlaku komplikasi tertentu.
Berikut beberapa jenis buah dan sayur yang baik untuk kesihatan buah pinggang, sesuai dijadikan sebahagian daripada diet harian anda.

1. Epal
Epal merupakan antara sumber terbaik untuk kesihatan buah pinggang, terutama sebagai makananan sokongan.
Sifat rendah kalium dan fosforus pada epal sangat sesuai untuk diambil oleh mereka yang memiliki masalah ginjal terutama pada peringkat awal kerana tidak membebankan organ ini.
Selain itu, epal juga tinggi dengan serat untuk membantu menyingkirkan kolesterol dan toksin dalam darah, sekali gus mengurangkan beban tugasnya.
Bagaimanapun, untuk pesakit buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis, kuantiti epal perlu dikawal mengikut saranan doktor dan elakkan mengambil jus epal berlebihan bagi mencegah lonjakkan bacaan gula dalam darah.

2. Blueberry
Blueberry berupaya melindungi keradangan pada buah pinggang selain mencegah kerosakan pada sel kerana tinggi kandungan antioksidan.
Selain itu, blueberry juga membantu mengawal tekanan darah tinggi yang boleh merosakkan organ ini serta mengawal kandungan gula dalam darah.
Pada masa sama, buah ini dapat melancarkan salur darah sekali gus membantu aliran ke buah pinggang menjadi lebih lancar.

3. Brokoli
Brokoli bersifat rendah kalori dan tinggi dengan serat untuk membantu penghadaman serta mengurangkan pengumpulan toksin dalam badan, sekali gus menyebabkan buah pinggang kurang bebanan untuk bekerja.
Pada masa sama, brokoli sangat baik untuk pesakit kencing manis (diabetes) yang menjadi punca utama pada kerosakan ginjal.
Sifat anti-radang semula jadi pada brokoli membantu mengurangkan keradangan kronik yang boleh mempercepatkan masalah buah pinggang.
Namun, elakkan makan brokoli mentah secara berlebihan kerana boleh meningkatkan beban mineral terutama pada pesakit buah pinggang tahap sederhana dan akhir.

4. Nanas
Kandungan kalium yang rendah pada nanas lebih selamat berbanding buah lain untuk pesakit buah pinggang.
Buah nanas turut mengandungi enzim bromelain untuk membantu kurangkan keradangan dan menyokong proses penyembuhan tisu.
Sifatnya yang kaya dengan antioksidan dan vitamin C melindungi sel buah pinggang daripada kerosakan oksidatif.
Walaupun rendah kalium, nanas tetap mengandungi gula semula jadi dan tidak sesuai untuk diambil secara berlebihan oleh pesakit diabetes.

5. Timun
Timun sangat sesuai diambil untuk semua tahap masalah buah pinggang termasuk pesakit kronik kerana memiliki sifat rendah kalium dan fosforus.
Selain itu, kandungan air pada timun juga sangat tinggi iaitu sekitar 95 peratus untuk membantu pengeluaran air kencing dan mengurangkan beban penapisan buah pinggang.
