Batuk tak baik-baik, siap gatal tekak... Cuba petua minum air sarsi dengan aiskrim
SELALUNYA kita digalakkan minum air suam, madu atau herba tradisional bagi melegakan masalah batuk berpanjangan serta sakit tekak.
Lain pula petua yang dikongsikan oleh seorang pempengaruh Msvivi apabila dia memilih air sarsi yang dicampur dengan aiskrim Solero sebagai cara untuk mengurangkan batuk dan rasa tidak selesa pada tekak.
Walaupun kedengaran agak pelik, petua tersebut dikatakan sudah beberapa kali diamalkannya dan didakwa berjaya memberi kelegaan dengan cepat ketika batuk menyerang.
“Geng kalau korang gatal tekak, sakit tekak atau batuk, korang perlu sediakan aiskrim Solero dan air sarsi.

“Minum air ini, saya gerenti sebab saya dah cuba terus rasa lega,” katanya menerusi sebuah hantaran video.
Tambahnya lagi, petua itu hanya berkesan jika menggunakan air sarsi dan bukannya minuman berkarbonat berperisa lain.
“Mesti Solero dengan sarsi, hanya sarsi saja bukan cola atau A&W (root beer),” jelasnya.
Secara ringkas, rasa sejuk aiskrim boleh membantu menenangkan keradangan pada tekak selain dipercayai membantu mengurangkan rasa pedih ketika menelan.
MENARIK DIBACA: Air madu citron bantu sembuhkan batuk berpanjangan
MENARIK DIBACA: Air campuran 3 bahan ini legakan masalah batuk, siap bantu cairkan kahak
Dalam masa sama, air sarsi yang berkarbonat memberikan sensasi segar pada tekak serta membantu melegakan rasa gatal dan ketidakselesaan buat sementara waktu.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya berterima kasih di atas perkongsian petua mudah berkenaan.
Tidak kurang juga yang berseloroh mahu mencubanya walaupun langsung tidak mengalami sakit tekak.
“Wow baru tahu weh tip untuk yang batuk dan sakit tekak dari Msvivi. Saya rasa esok saya akan batuklah, nak minum malam ini.

“Yang tak gatal tekak pun suka yang ini,” antara komen netizen.
Namun begitu, ada juga yang meluahkan kebimbangan terhadap kandungan gula tinggi dalam campuran minuman tersebut yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan jika diambil terlalu kerap.
“Aku tak pernah minum air bergas, bahaya… nanti batuk tak baik, kencing manis yang dapat,” tulis seorang pengguna.