Lelaki maut makan manisan 'inti' bahan letupan, biasa diguna untuk buru babi hutan
SEORANG lelaki warga India maut selepas makan sejenis bahan letupan yang disangkanya manisan tradisional dalam kejadian di daerah Dindori, Madhya Pradesh, India pada 10 November lalu.
Sebelum kejadian, mangsa, Rajendra Barautiya, 35 sedang duduk berhampiran unggun api di luar rumahnya selepas selesai makan malam bersama keluarga.
Seorang penduduk kampung kemudiannya datang membawa makanan yang kelihatan seperti rasgulla iaitu manisan tradisional India berbentuk bulat, lembut dan disaluti air gula.
Difahamkan, makanan itu bagaimanapun sebenarnya merupakan bebola yang diisi dengan serbuk letupan.
Menurut laporan media antarabangsa, bahan letupan seumpama itu digunakan oleh sesetengah penduduk kampung untuk memburu babi hutan.
Bom buatan sendiri itu diperbuat menggunakan serbuk letupan yang dimasukkan ke dalam bebola doh dan meletup apabila digigit haiwan.

Pegawai polis, Rekha Singh berkata bahan letupan yang digunakan untuk membunuh babi hutan itu telah diberikan kepada mangsa.
"Bom yang digunakan oleh sesetengah penduduk di kawasan itu untuk membunuh babi hutan telah diberikan kepada lelaki berkenaan sebelum meletup di dalam mulutnya," katanya kepada media.
Mangsa mengalami kecederaan parah akibat letupan itu sebelum dikejarkan ke hospital namun gagal diselamatkan.
Lelaki yang menyerahkan makanan berkenaan dan memberitahu mangsa bahawa ia merupakan rasgulla dikenal pasti sebagai Ramabhagat Barautiya
Kejadian itu mengejutkan penduduk kampung yang tidak menyangka kejadian pada malam tersebut berakhir dengan tragedi.
MENARIK DIBACA: Suka ambil 'dessert' lepas makan, risiko Alzheimer meningkat 69 peratus - Kajian
MENARIK DIBACA: Tak lalu makan ketika sakit? Ini 6 makanan saranan sesuai gejala
Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki yang didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
"Kami masih belum mengetahui sama ada motifnya adalah untuk membunuh atau sekadar gurauan. Perkara itu masih dalam siasatan," katanya.