Elak hirup kuah sayur bayam, kandungan oksalat undang risiko batu karang
BAYAM antara sayur yang kerap diuar-uarkan sebagai sumber zat besi baik dan mudah disediakan sama ada dimasak sebagai sup, ditumis atau dicelur.
Hantaran seorang pengguna Threads mengenai kesan pengambilan sup bayam terhadap kesihatan menarik perhatian warga maya.
Menerusi hantarannya, dia berkongsi semula status media sosial yang dikongsikan oleh seorang pakar perubatan restoratif dan integratif mengenai amalan menghirup sup bayam.

Perkongsian tersebut menunjukkan bahawa menghirup sup bayam boleh meningkatkan risiko batu karang dan menjejaskan buah pinggang sebanyak dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding makan bayam yang dicelur.
"Baru tahu rupanya bayam celur lagi selamat daripada hirup sup bayam. Tapi saya memang suka makan bayam celur, lebih sedap dari masak sup atau tumis.
"Makan dengan telur rebus pun dah sedap betul. Tambah pula ada crunchy crunchy, dari tak selera terus berselera nak habiskan," kongsinya.
Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang berkongsi pandangan mengenai kandungan oksalat dalam sayuran hijau.
MENARIK DIBACA: Amal minum air cengkih dan bawang putih... Badan rasa ringan, lebih bertenaga
MENARIK DIBACA: Buat 'masker' guna madu, telur bantu remajakan kulit wajah
"Ya, sebab kandungan oksalat tinggi. Dulu saya mengalami penyakit buah pinggang kronik (CKD) selepas menjalani kemoterapi. Saya kerap minum jus bayam mentah dan perasan bacaan ujian darah eGFR semakin menurun. Selepas berhenti, bacaan perlahan-lahan bertambah baik. Teh O juga tinggi oksalat. Lebih baik minum bersama susu.
"Sebab sayur hijau mengandungi oksalat. Oksalat boleh menjadi masalah kepada buah pinggang jika diambil secara berlebihan, terutama bagi individu tertentu.
"Bukan bayam sahaja, bendi dan kunyit juga mengandungi oksalat boleh membahayakan individu mempunyai masalah buah pinggang.
"Tumislah bayam bersama ikan bilis atau makan dengan ikan sardin. Tulang sardin kaya dengan kalsium. Boleh juga masukkan tauhu ke dalam masakan bayam untuk melengkapkan hidangan," antara perkongsian netizen.

Oksalat ialah sebatian semula jadi yang terdapat dalam beberapa jenis makanan, termasuk bayam.
Bahan ini boleh bergabung dengan kalsium dalam air kencing untuk membentuk kristal kalsium oksalat, iaitu antara komponen utama batu karang.
Menurut satu kajian diterbitkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry, merebus sayur tertentu dapat mengurangkan kandungan oksalat larut air sekitar 30 peratus hingga 87 peratus.
Oksalat berkenaan boleh berpindah ke dalam air rebusan, sebab itu membuang air celuran boleh membantu mengurangkan jumlahnya dalam sayur.
