Bangga tak makan MSG, siap 'haram' ada di dapur... Lelaki dedah realiti bahan perasa ramai tak sedar
RAMAI individu sering mengelak daripada menggunakan monosodium glutamat (MSG) atau penyedap rasa apabila memasak kerana bimbang bahan itu berbahaya untuk kesihatan.
Malah, ada juga yang mengakui mereka langsung tidak pernah mengambil MSG sepanjang hidup.
Seorang pengguna Threads tampil memberi teguran berhubung mentaliti sebahagian individu yang menurutnya terlalu takut dengan MSG tanpa memahami kandungan sebenar makanan yang mereka makan setiap hari.
Menurutnya, jika seseorang itu mendakwa dia tidak pernah mengambil MSG ia dianggap adalah satu pembohongan kerana bahan tersebut sebenarnya terdapat dalam pelbagai produk makanan yang dijual di pasaran.
Bukan itu sahaja, kebanyakan premis makanan turut menggunakan bahan yang mengandungi MSG untuk menaikkan rasa umami dalam masakan mereka.

"Pensyarah saya pernah cakap, siapa yang kata mereka tak guna MSG, sebenarnya ramai yang tak sedar mereka tetap makan bahan itu setiap hari.
"Dalam sos, kicap, keropok, perasa ayam dan pelbagai produk makanan lain memang ada kandungan MSG. Jadi macam mana kita boleh dakwa langsung tak pernah makan MSG?
"Makanan yang dibeli di luar seperti makanan segera, kedai Siam atau kedai mamak pun kebanyakannya menggunakan bahan yang mengandungi MSG. Dalam sos tiram dan sos ikan pun ada," katanya.
Tambahnya, fungsi utama MSG adalah untuk menonjolkan rasa umami sekali gus melengkapkan rasa masakan tanpa mengubah rasa asal sajian tersebut.
MENARIK DIBACA: Ketahui maksud umami... Kesedapan makanan sukar diungkap, bikin manusia ketagih!
MENARIK DIBACA: [V] Bento masakan rumah dengan harga bajet, paling penting tanpa MSG
Katanya lagi, MSG bukanlah bahan asing atau sintetik semata-mata seperti yang sering disalah tafsir masyarakat kerana ia dihasilkan melalui proses penapaian bahan semula jadi seperti ubi kayu.
"MSG ini memberikan rasa umami dan membantu menyerlahkan rasa dalam masakan. Itu fungsi umami, ia melengkapkan rasa.
"Ajinamoto dari ubi, tapi rasa umami ni tinggi dalam bawang putih dan cendawan, masakan Melayu tak semua pakai bawang putih dan cendawan.
"Sebab itu ada yang menggunakan MSG untuk menaikkan rasa dan mengelakkan masakan menjadi hambar," jelasnya.
Bagaimanapun, dia mengingatkan bahawa penggunaannya perlu dilakukan secara sederhana.

"Yang salah kalau awak letak sepaket, sikit cukup. Sebab fungsi dia nak naikkan rasa kelima dalam masakan, selain masam, manis, pedas, pahit.
"Kadang tak semua benda kita ingat benda tu tak elok benda tu salah. Ada fungsi dia," ujarnya.
Di ruangan komen, ramai netizen bersetuju dengan penjelasan itu malah ada yang berpendapat MSG sering menerima persepsi negatif yang tidak tepat.
Ada juga yang mendakwa penggunaan MSG dalam kuantiti sederhana lebih baik berbanding sesetengah serbuk perasa komersial yang mengandungi pelbagai bahan tambahan lain.
"MSG dapat reputasi buruk sejak dulu, sebab itu ramai terus takut walaupun hakikatnya ia digunakan secara meluas dalam industri makanan," antara komen netizen