Tip ‘anti gagal’ buat cekodok pisang rangup, tak serap minyak... Bentuk pun bulat cantik
TOPIK mengenai cekodok pisang sering menjadi perhatian dan bualan ramai di media sosial.
Walaupun ramai berpendapat membuat sendiri di rumah lebih puas dimakan, masalah paling kerap dihadapi ialah bentuk cekodok yang tidak menjadi bulat cantik seperti dijual di warung.
Seorang wanita dikenali sebagai farahatika di Threads tampil berkongsi petua mudah untuk menghasilkan cekodok pisang yang berbentuk bulat cantik dan rangup, pendek kata anti gagal!

“Cekodok pisang anti gagal, yang penting jangan ‘derhaka’ resepi,” kongsinya berseloroh.
Menurutnya, antara tip utama untuk mendapatkan bentuk cekodok yang bulat adalah penggunaan minyak yang betul ketika menggoreng.
MENARIK DIBACA: Dah cuba banyak tip, nasi dimasak tetap cepat basi! Netizen kongsi petua, ada kait dengan mistik
MENARIK DIBACA: Famili kecil, orang bujang disaran masak nasi dalam cawan... Hasil 'cantik', tak berkerak
“Tip cekodok bulat-bulat adalah pertama, minyak kena banyak hingga tenggelam cekodok. Kedua, minyak perlu panas baru masukkan adunan.
“Ketiga, selepas cekodok dah bertukar kuning gelap, tekan cekodok (rujuk dalam video). Akhir sekali sepanjang masak, api sederhana dan jangan leka, nanti boleh hangus,” katanya.

Wanita itu turut berkongsi satu lagi petua penting bagi mengelakkan cekodok menyerap terlalu banyak minyak ketika digoreng.
“Cara cekodok tak serap minyak adalah dengan masukkan adunan ketika minyak sudah panas dengan api sederhana ketika mula menggoreng cekodok,” jelasnya.
Bagi penggemar kuih tradisional ini, tip mudah seperti ini mungkin boleh dijadikan rujukan supaya hasilnya lebih cantik, rangup di luar dan lembut di dalam seperti yang dijual di gerai.