Rupanya ada beza rasa kuah asam pedas dibuat guna asam keping dan asam jawa
MEMASAK asam pedas biasanya memerlukan bahan paing penting iaitu asam jawa atau asam keping sekali gus menyempurnakan rasanya.
Pemlihan kedua-dua bahan tersebut biasanya dibuat mengikut selera dan resipi masakan masing-masing.
Di Threads seorang lelaki mengundang perhatian ramai apabila mempersoalkan kenapa sesetengah individu menggunakan asam jawa untuk memasak asam pedas, bukannya asam keping.
"Masak asam pedas kenapa letak asam jawa, bukan asam keping?" tulisnya.
Pertanyaan itu mengundang pelbagai reaksi netizen apabila ramai tampil berkongsi pilihan serta pengalaman mereka dalam menyediakan hidangan tersebut.

Ada yang lebih gemar menggunakan asam keping kerana menyukai rasa masam yang terhasil.
"Saya guna asam keping. Saya lebih suka rasa masam lebih tajam berbanding rasa asam jawa yang lebih lembut.
"Saya malas nak perah-perah asam jawa, jadi saya letak asam keping. Sama sahaja rasanya tetap rasa asam pedas.
"Saya letak apa yang ada. Kadang-kadang kalau malas, letak asam keping sahaja," komen beberapa warganet.
Malah ada juga yang menggunakan kedua-dua bahan tersebut dalam masakan bagi mendapatkan rasa yang diinginkan.
"Dua-dua letak. Mula-mula masukkan air dengan asam keping, lepas itu baru masukkan asam jawa,” kongsi seorang pengguna.
Seorang lagi individu berkata memang terdapat perbezaan hasil apabila menggunakan asam keping dan asam jawa.
"Okay sahaja letak mana-mana tapi ada beza pada warna dan rasa. Masamnya berbeza sedikit, kira macam pakai cili kering dengan cili kisar sedia dibuat," katanya.

Ada juga yang berpendapat air asam jawa sebenarnya menjadikan kuah asam pedas lebih pekat sehingga memutuskan tidak akan memasak hidangan itu jika bahan tersebut tiada.
"Saya kalau tak ada asam jawa memang tak akan buat asam pedas. Letak air asam jawa, kuah jadi lebih pekat.
"Asam jawa pekat. Kalau asam keping pula, kena ingat untuk keluarkan selepas itu. Kalau dibiarkan, kuah akan bertambah masam apabila semakin lama berada dalam kuah.
"Asam jawa padu dan memekatkan kuah," komen netizen lagi.
MENARIK DIBACA: Keliru antara Americano, latte, espresso? Ini maksud 10 istilah kopi antarabangsa dan versi Malaysia
MENARIK DIBACA:Balik dari luar negara, terkejut semua makanan 'dimaniskan'... Deria rasa orang Malaysia jadi bualan
Ada juga yang berpandangan penggunaan asam keping juga perlu berhati-hati kerana bahan itu boleh menyebabkan kuah menjadi semakin masam sekiranya dibiarkan terlalu lama.
"Kalau asam jawa rasanya tetap bergantung pada berapa banyak kita letak. Kalau asam keping semakin lama kita rebus semakin masam.
"Tapi saya letak sahaja dua-dua. Asam keping jangan letak banyak sangat, air asam jawa pula untuk buat kuah," komen seorang warganet.