Ramai pilih bawang ros untuk masak, dianggap istimewa berbanding bawang merah
NAMPAK hampir sama, tetapi sebenarnya bawang ros dan bawang merah biasa (bawang besar) mempunyai perbezaan dari segi saiz, rasa dan kegunaannya dalam masakan.
Bagi mereka sudah biasa memasak, memilih bawang mungkin perkara mudah kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan pengetahuan sendiri tapi berbeza pula buat individu baru berjinak-jinak di dapur.
Seorang pengguna Threads berkongsi persoalannya mengenai perbezaan bawang ros dan bawang merah biasa.
"'Gais' saya nak tanya apa beza dua jenis bawang ni dan yang mana sedap untuk masak. Maaf saya 'beginner'," kongsinya sambil memuat naik dua gambar bawang berlainan jenis.

Persoalan ringkas ini mengundang pelbagai reaksi netizen yang berkongsi pandangan serta pengalaman masing-masing dalam memilih bawang untuk memasak.
Ada yang berpendapat bawang ros lebih sedap kerana rasanya yang cenderung manis, selain memberikan warna menarik apabila dikisar atau dijadikan sambal.
"Bawang ros yang kedua tu okay. Itu lebih manis. Buat sambal sedap, sambal berlado, dalam gulai, kari, semua sedap. Warnanya lebih cantik sebab ungu.
MENARIK DIBACA: Kecoh deodoran haruman 'chicken nugget' di pasaran - "Ada orang akan bau ayam sepanjang hari"
MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!
"Paling sedap bagi saya bawang ros. Saiz kecil-kecil tu lagi terasa manisnya. Tetapi kadang-kadang letih nak kupas bawang satu-satu sebab kecil, jadi saya guna bawang merah biasa saiz sederhana saja.
"Kalau bawang besar dan gelap, tak sedap. Bawang biar saiz sederhana dan warna ungu cair. Nak lagi sedap pakai bawang ros.

"Bawang ros! Lagi manis. Buat bawang kisar pun cantik warnanya," antara komen netizen.
Kedua-duanya boleh digunakan untuk memasak, termasuk menyediakan sambal, kari, gulai, masakan tumis dan bahan perapan.
Pilihan bergantung pada cita rasa, jenis hidangan serta kuantiti bawang yang diperlukan.
Bagi yang baru belajar memasak, bawang ros boleh dicuba untuk hidangan seperti sambal kerana rasanya yang cenderung manis dan warnanya yang menarik.
Trivia:
Perbezaan bawang ros dengan bawang merah biasa
- Bawang ros saiznya kecil, bentuk agak bulat dan kulit berwarna merah jambu hingga keunguan.
- Bawang ros rasanya lebih manis
- Bawang merah lazimnya mempunyai saiz pelbagai, daripada kecil, sederhana hingga besar.
- Rasanya boleh menjadi lebih tajam atau pedas
- Bawang besar memberikan aroma kuat ketika ditumis.
