Tawar 3 jenis sajian ayam, makanan di restoran Illa Sabri rasa macam 'lauk rumah'
KEBANYAKAN restoran akan menawarkan aneka pilihan menu sehingga pelanggan rambang mata untuk memilih.
Bagaimanapun, berbeza pula di restoran Cik Gebu Rasa Kayangan milik penyanyi Illa Sabri.
Mengangkat konsep hidangan ringkas tetapi menyelerakan, Cik Gebu Rasa Kayangan menawarkan menu yang cukup sederhana iaitu nasi putih bersama tiga pilihan lauk ayam.
Antara tiga lauk signatur yang boleh dinikmati pelanggan ialah ayam kicap, ayam gerek dan ayam belado dengan rasa seperti masakan di rumah.

Menurut Illa atau nama sebenarnya Fasillah Sabry, walaupun menu yang ditawarkan cukup ringkas, hidangan sebegitu tidak semestinya membosankan malah masih dapat memenuhi selera sesiapa sahaja.
Ayam kicap misalnya, menjadi antara menu popular yang mengetengahkan rasa masakan klasik dengan kuah kicap pekat dan membangkit selera.
Bagi yang gemarkan hidangan pedas, ayam gerek pula boleh dipilih dengan kombinasi rasa pedas dan aroma rempah yang cukup menyelerakan.
MENARIK DIBACA: Sireh tawar aneka sajian tradisional, pengalaman makan dalam suasana elegan
MENARIK DIBACA: [V] Makanan sedap, banyak menu... Seronok lepak di kopitiam moden milik Adam Corrie

Tidak ketinggalan menu ayam belado buat mereka yang gemarkan hidangan dengan sentuhan rasa Melayu.
Menariknya, pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati lebih daripada satu jenis lauk dalam satu hidangan menerusi kombinasi set Nasi Kayang pada harga cukup berpatutan.
Selain makanan berat, pelanggan juga boleh menikmati sajian Set Platter terdiri daripada mantao, karipap dan roti sardin gulung yang dihidangkan bersama tiga jenis pencecah istimewa.
Bagi anda yang ingin mencuba, terdapat enam cawangan yang boleh dipilih iaitu di The Link 2, Bukit Jalil, J42 Selayang Baru, Laman Kencana Batu Caves, Greenwood Gombak, Mykiosk Selayang Mall dan Mykiosk Astro Bukit Jalil.
