Port sarapan ala bufet meriah tengah KL! Lebih 50 menu Johor, Pantai Timur bikin rambang mata
BERMULA dengan sebuah gerai kecil di tepi jalan yang hanya menjual tempe goreng sambal kicap (TGSK), siapa sangka TGSK kini berkembang menjadi antara 'port' popular untuk menikmati sarapan di Kuala Lumpur.
Ketua Komersial TGSK Kuala Lumpur, Muhammad Nur Ihsan Draman berkata, menu tersebut menjadi titik permulaan kepada perjalanan perniagaan ini.
"Tempe goreng sambal kicap adalah menu pencetus yang menjadi titik permulaan TGSK. Gerai kami dulu dibuka pada 2020, hanyalah gerai tepi jalan di Taman Kosas," katanya kepada Kuali.
Bisnes yang berkembang dengan menu yang bertambah, tidak hairanlah TGSK kini menjadi antara destinasi pilihan pelanggan untuk bersarapan bersama keluarga, terutama bagi mereka yang gemarkan hidangan tradisional.

Mengangkat sajian warisan Terengganu dan Johor, restoran ini menawarkan lebih 50 pilihan menu sarapan yang merangkumi hidangan berat, makanan ringan sehinggalah pencuci mulut.
TGSK menghidangkan makanan secara bufet, membolehkan pelanggan memilih dan mengambil sendiri hidangan mengikut selera masing-masing, dengan harga setiap hidangan bermula RM10 hingga RM20.
Menurut Nur Ihsan, antara menu yang paling mendapat perhatian pelanggan sudah tentulah tempe goreng sambal kicap yang menjadi identiti TGSK sejak awal penubuhannya.
"Menu paling orang tercari-cari adalah tempe goreng, itu memang hidangan istimewa kita. Selain itu, nasi dagang, nasi lemak, lempeng goreng dan laksam juga antara yang popular.
MENARIK DIBACA: Nak cari 'lubuk' kuih tradisi rasa asli? Lori hijau 'legend' Rosdaud 'port' paling tepat
MENARIK DIBACA: Sireh tawar aneka sajian tradisional, pengalaman makan dalam suasana elegan
"Pada hujung minggu pula kita turut menyediakan menu kontinental atau Barat seperti 'big breakfast' dan pankek untuk mereka yang mahukan sajian berbeza," ujarnya.
Bagi penggemar hidangan Pantai Timur, nasi kerabu antara menu yang tidak boleh dilepaskan.
Dihidangkan bersama daging dan lemak bakar, lauk ini memberikan rasa berlemak, sedikit dengan aroma 'smoky' yang cukup menyelerakan.
Nasi lemak pula hadir dengan pelbagai pilihan lauk-pauk yang boleh dipadankan mengikut selera.
Antaranya rendang, paru goreng, sambal sotong dan sambal kerang yang pastinya membuatkan pelanggan rambang mata.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga boleh menikmati aneka hidangan dari Johor seperti soto, lontong darat dan laksa Johor.

Selain memperkenalkan pelbagai makanan tradisional kepada pelanggan tempatan, TGSK Kuala Lumpur turut mengambil inisiatif mempromosikan warisan kulinari negara kepada pelancong asing menerusi kelas memasak.
Menurut Nur Ihsan, kelas tersebut memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali sendiri cara penyediaan masakan tradisional Malaysia.
"Kita mengangkat menu tradisional, jadi kita ambil peluang untuk buka kelas memasak kepada pelancong.
"Mereka hanya tinggal bawa diri sahaja, bahan-bahan memasak kami sediakan," jelasnya.
Dalam pada itu, dia mengakui usaha mengekalkan kualiti makanan dan perkhidmatan bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila restoran menawarkan pilihan hidangan yang banyak kepada pelanggan setiap hari.
"Untuk gembirakan pelanggan, kita kena tawarkan sajian yang kena dengan selera mereka. Untuk dapatkan itu, rasa makanan kena konsisten," katanya.
Lokasi: TGSK Kuala Lumpur, Lot 841, Jalan Hillview, Hulu Kelang, 68000 Ampang, Selangor.
Waktu operasi: 7 pagi - 3 petang (Setiap hari kecuali Jumaat)