Azmi Goreng Pisang memang 'legend'! Rasa sama, rangup macam 30 tahun dulu
SELEPAS berpuluh tahun berniaga, Azmi Man, 72, terus membawa satu cerita tentang kesungguhan seorang pesara tentera untuk mencari rezeki.
Pernah mencuba banyak bidang pekerjaan selepas bersara, pengalaman mengajarnya bahawa kejayaan memerlukan kesabaran dan komitmen.
Kini, selepas lebih 30 tahun berniaga, Azmi Pisang Goreng bukan sekadar bisnes buah disalut tepung sebaliknya layak diangkat sebagai kudapan 'legenda' khususnya bagi penduduk Shah Alam, Selangor.
Apa yang pasti di sebalik setiap keping pisang, ubi atau sukun gorengnya, ada pengalaman, percubaan dan usaha berterusan untuk memastikan keunikan rasanya kekal sama.
“Selepas bersara kira-kira 30 tahun lalu, saya pernah mencuba kerja kontraktor, tetapi lama-kelamaan saya rasa bidang itu kurang sesuai dengan jiwa.
"Akhirnya, saya cuba berniaga pisang goreng,” kata Azmi yang berasal dari Kedah ini kepada Kuali.

Menurut Azmi, pada peringkat awal dia sendiri menggoreng pisang untuk dijual kepada pelanggan.
Dia mengetengahkan cita rasa yang dekat dengan negeri kelahirannya ke kawasan bandar.
Ketika itu, katanya, pisang awak tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat bandar berbanding di bahagian utara Malaysia.
Dia melihat keadaan ini sebagai peluang untuk memperkenalkan kelainan kepada pelanggan di sekitar Selangor yang sudah terbiasa dengan pisang tanduk atau pisang abu yang digoreng.
“Pisang awak ini walaupun saiznya kecil, rasanya lebih manis. Saya mahu orang ramai mencuba sendiri keistimewaannya,” katanya.
Azmi bagaimanapun mengakui bahawa setiap jenis pisang mempunyai keistimewaan rasa tersendiri.
"Pisang awak lebih manis, pisang tanduk lemak manis, manakala pisang nangka pula cenderung mempunyai sedikit rasa masam," katanya.
Perbezaan ini mungkin nampak kecil, tetapi bagi penggemar pisang goreng jenis pisang memainkan peranan penting dalam menentukan rasa akhir sesuatu hidangan.
MENARIK DIBACA: Masak 10kg udang butter habis licin! Wanita kongsi resipi, tip isi kekal 'juicy'
MENARIK DIBACA: Daun bawang dah 4 hari potong masih segar! Cef kongsi tip elak potongan sayur cepat layu
Rahsia rangup
Selain pemilihan pisang, perkara paling penting untuk adalah Azmi adalah bancuhan tepung.
Dia mengakui melakukan bermacam percubaan bagi mendapatkan tepung salutan rangup, tidak terlalu berminyak dan mempunyai aroma tersendiri.
Menurutnya, keseimbangan campuran tepung beras, tepung gandum, garam dan air kapur menjadi antara kunci untuk menghasilkan tekstur gorengan diinginkan.
“Bukan sekali dua kita mencuba. Bancuhan tepung perlu diperbaiki sampai dapat rasa dan kerangupan sesuai.
"Sebab itu sampai sekarang saya masih merasa sendiri pisang goreng yang dijual untuk memastikan kualitinya terjaga,” katanya lagi.
Bagi Azmi, mengekalkan kualiti merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaannya sejak sekian lama.

Tiga kali pindah, tetap bertahan
Perjalanan Azmi Goreng Pisang bukanlah sentiasa mudah.
Sepanjang mengusahakan perniagaan ini, gerainya sudah berpindah sebanyak tiga kali, bermula dengan Seksyen 19 dan Seksyen 18, Shah Alam sebelum akhirnya bertapak di lokasi semasa selama kira-kira 18 tahun.
Kini, Azmi mengendalikan perniagaan bersama anaknya, Shahrul Rizal, 44, dengan bantuan lima pekerja yang menguruskan pelbagai tugasan.
Persediaan untuk berniaga bermula awal pagi dengan bancuhan tepung disediakan di rumah sebelum mereka bergerak ke gerai sekitar pukul 11 pagi.
Di gerai, tumpuan diberikan kepada proses menggoreng bagi memastikan pisang goreng dijual dalam keadaan segar.
Operasi lazimnya bermula tengah hari sehingga pukul 6 petang, bergantung pada pelanggan.
Bagi memenuhi permintaan, kira-kira 200 kilogram pisang pelbagai jenis digunakan dalam sehari, dengan bekalan diperoleh dari Pasar Meru, Klang.
Selain pisang goreng, pelanggan juga boleh mendapatkan gorengan lain yang tak kurang enak seperti sukun, cempedak dan ubi kayu serta keledek.
Pisang mungkin sama, tetapi untuk dapatkan rasa dan kerangupan yang pelanggan suka, bancuhan tepung kena tepat.
AZMI MAN || Pemilik Azmi Goreng Pisang
Buang pisang tak habis
Di sebalik pelanggan yang datang silih berganti, ada cabaran jarang dilihat orang luar.
Antaranya, menganggarkan jumlah pisang yang perlu digoreng setiap hari supaya bekalan mencukupi tanpa ada lebihan terlalu banyak.
“Kalau tak habis, tak boleh simpan untuk esok. Pisang jadi masam, jadi terpaksa buang.
"Ini antara cabaran dalam menguruskan perniagaan makanan, terutama apabila jumlah pelanggan berubah-ubah mengikut hari dan keadaan cuaca.
"Kalau hujan saya terpaksa hentikan operasi buat sementara waktu, kadangkala selama satu jam, sebelum pelanggan kembali ke gerai,” kongsinya.
Harga rendah demi pelanggan
Menurut Azmi, sekitar 1994 pelanggan boleh mendapatkan 10 keping pisang goreng dengan harga RM1.
Kini, harga RM1 hanya membolehkan pelanggan membawa pulang sekitar tiga keping pisang goreng.
"Sekarang harga barang semua naik termasuk minyak masak dan pisang.
"Tapi, sebagai peniaga saya cuba mengekalkan harga pada tahap mampu diterima pelanggan kerana fikirkan pelanggan lama masih datang membeli.
"Ada juga yang datang balik selepas 30 tahun dengan membawa anak-anak mereka pula, perkara ini cukup bermakna buat saya," jelasnya.
Jelas sekali, kesetiaan pelanggan menjadi antara sebab Azmi terus bertahan.
Malah, gerainya turut dikunjungi pelanggan dari luar kawasan, termasuk dari Terengganu dan Pahang, terutama pada hujung minggu.

'Air tangan' pisang goreng berbeza
Bagi Azmi, rasa pisang goreng yang konsisten sangat penting bagi memastikan pelanggan terus mengingati air tangannya.
"Pisang digunakan mungkin sama di tempat lain, tetapi hasil gorengan berbeza mengikut pemilihan buah, bancuhan tepung dan cara penyediaannya.
"Ini yang menjadikan Azmi Goreng Pisang unik," kongsinya mengakhiri sesi temu bual.
Lokasi: Azmi Goreng Pisang (Kedai Baru), Jalan Pinang Siri 18/3, Seksyen 18, Shah Alam, Selangor.
Waktu Operasi: 12 tengah hari - 6 petang. Buka setiap hari kecuali Jumaat