Bufet 'lunch' lauk kampung dan 'western' RM10! Makan apa saja asal tak membazir
MAKAN di sini memang 'meriah' dan murah, tapi untuk setiap pembaziran makanan pelanggan akan didenda RM50.
Demikian konsep makan di Faridah Kitchez, sebuah premis yang menawarkan hidangan bufet makan tengah hari tanpa had dengan harga RM10 sahaja.
Beroperasi sejak tiga tahun lalu, Faridah Kitchenz yang terletak di Amcorp Mall, Petaling Jaya ini menjadi salah satu pilihan 'port' makan tengah hari bagi mereka yang mahu makan sepuasnya pada harga mampu bayar.

Pengusahanya, Faridah Mintu berkata sajian bufet makan tengah hari serendah RM10 diperkenalkan setelah melihat belum ada lagi kedai menawarkan promosi sebegini.
Pada masa sama, Faridah juga mahu membantu pelanggan berpendapatan rendah supaya dapat menikmat pelbagai hidangan tanpa had pada harga mampu bayar.
"Saya suka buat sesuatu yang orang lain tidak pernah buat. Sebab itu saya buka Faridah Kitchenz yang menawarkan bufet makan tengah hari tanpa had pada harga RM10 sahaja.
"Tapi tujuan utama saya sebenarnya untuk membantu golongan berpendapatan rendah dengan menawarkan harga bufet yang tidak membebankan mereka.
"Harga murah, tapi mereka masih dapat menikmati makanan yang pelbagai," katanya kepada Kuali.
MENARIK DIBACA: Nasi campur bufet RM8 seorang... Pilih apa saja lauk nak makan, boleh tambah tanpa had
MENARIK DIBACA: Hidang bufet dalam sungai nampak 'cool', ramai juga risau risiko kesihatan
Sebagai langkah mengelakkan pelanggan melakukan pembaziran makanan, denda RM50 akan dikenakan jika didapati berlaku pembuangan makanan.
Jelasnya, harga bufet murah bukan bermaksud pelanggan boleh mengambil makanan sebanyak mungkin dan akhirnya tidak habis dimakan lalu dibuang dalam tong sampah.
"Makanan memang boleh diambil tanpa had, tapi setiap pembaziran saya akan denda RM50. Tak perlu timbang-timbang.
"Tak ada sebab anda perlu membazir, sedangkan boleh ambil sikit-sikit, kalau tak cukup barulah tambah lagi.
"Jadi kenapa perlu buang-buang makanan? jelasnya.

Di Faridah Kitchenz, terdapat 30 hingga 40 jenis masakan kampung disediakan namun tidak semua lauk akan dihidangkan secara serentak.
Sebagai contoh, jika hidangan ayam masak lemak habis ia akan digantikan dengan ayam masak rendang atau ayam sambal, begitu juga dengan pilihan lauk lain seperti ikan dan sayur-sayuran.
Selain nasi campur, Faridah Kitchenz turut menawarkan bufet makanan barat tanpa had juga pada harga RM10 terdiri daripada sajian seperti pasta, nuget ayam, sosej, kentang putar, salad, kentang goreng dan buah-buahan.

Faridah berkata jika bufet RM10 yang ditawarkan mampu membuatkan orang ramai bahagia, dia percaya akan dikurniakan rezeki berlipat kali ganda.
"InsyaAllah bila kita membahagiakan orang, keuntungannya pasti luar biasa," katanya.
Lokasi: Faridah Kitchenz, LG, Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari termasuk cuti umum, 11 pagi hingga makanan habis