Nasi campur bufet RM8 seorang... Pilih apa saja lauk nak makan, boleh tambah tanpa had
NIAT murni untuk membantu golongan memerlukan ketika pandemik akhirnya membuahkan kejayaan buat restoran nasi campur ini yang tidak pernah putus menerima kunjungan pelanggan.
Bukan sekadar menawarkan lauk kampung sedap, Hanie's Cafe turut mencuri perhatian ramai dengan konsep makan nasi campur tanpa had lauk dengan hanya membayar RM8.
Menurut pemiliknya, Darish Hanie, idea memperkenalkan konsep nasi campur pada harga mampu milik diperkenalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha berkongsi rezeki dengan mereka yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi.

"Saya perkenalkan konsep nasi campur dengan harga murah sejak zaman PKP. Saya fikir macam manalah orang susah ketika itu nak bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
"Sebab itulah saya berniaga seikhlas hati. Kami pun nak hidup, orang lain pun nak hidup. Tak salah kalau kita tolong-menolong.
"Allah anugerahkan saya dengan kemampuan memasak, jadi saya bersedekah melalui perniagaan," katanya kepada Kuali.
Apa yang membuatkan restoran ini lebih istimewa ialah pilihan lauknya yang cukup banyak.
MENARIK DIBACA: Viral sebab tubuh sado, rupanya buah RM2 sebiji tarikan utama Durian Papa Muda
MENARIK DIBACA: Warung kecil, rasa luar biasa! Awas, makan Laksa Telur Sarang Labu mungkin tak cukup semangkuk
Setiap hari, pelanggan boleh memilih untuk makan apa sahaja daripada 60 hingga 70 jenis lauk pauk yang terdiri daripada ayam, ikan, makanan laut, sayur-sayuran serta pelbagai jenis ulam-ulaman tradisional.
Antara hidangan yang menjadi kegemaran pelanggan ialah ayam sambal hijau, ikan bawal asam pedas, ikan patin tempoyak, lala masak lemak dan gulai rebung.
Menariknya, pelanggan bebas mengambil seberapa banyak lauk mengikut selera, namun mereka yang membazir atau meninggalkan lebihan makanan akan dikenakan caj dua kali ganda daripada harga asal.
Gabungan harga berpatutan serta masakan yang menepati cita rasa pelanggan membuatkan Hanie's Cafe yang terletak di Sungai Buloh ini tidak pernah putus menerima pelanggan.
Malah, ramai sanggup datang dari luar kawasan dan negeri semata-mata mahu menikmati sepus-puasnya aneka lauk yang ditawarkan pada harga RM8 seorang.
Allah anugerahkan saya dengan kemampuan memasak, jadi saya bersedekah melalui perniagaan
DARISH HANIE
Pemilik Hanie's Cafe
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, rahsia perniagaannya bertahan selama 17 tahun terletak pada keaslian resipi keluarga yang masih dikekalkan hingga hari ini.
"Saya asal dari kampung, jadi cara masak saya sama macam nenek dan ibu saya masak di rumah. Sederhana, tapi masih mengekalkan rasa autentik macam orang tua-tua memasak," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap jenis lauk yang dijual disesuaikan dengan harga yang ditawarkan agar pelanggan masih dapat menikmati hidangan berkualiti tanpa perlu berbelanja besar.
"Ada yang tanya saya kenapa tak jual udang atau daging. Saya tak mampu sebab kosnya tinggi. Kami tawarkan lauk mengikut kemampuan dengan harga RM8.

"Kalau ada rezeki dan harga bahan mentah murah, barulah saya jual.
"Lauk di sini tak pernah putus sebab kami sentiasa tambah. Kami masak dalam kuantiti kecil tetapi banyak pilihan supaya pelanggan sentiasa dapat lauk yang segar," tambahnya.
Lokasi: Hanie's Cafe, 27, Jalan BRP 1/5, Bukit Rahman Putra, 47000 Sungai Buloh, Selangor.
Waktu operasi: 11 pagi hingga 5 petang (Selasa hingga Ahad).