10 jenis bunga boleh dimakan! Cantik di mata, enak di mulut
BUNGA bukan sekadar tanaman hiasan yang mencantikkan halaman rumah, sebaliknya ada antaranya sudah lama digunakan sebagai bahan masakan dan ulam-ulaman.
Bunga kantan, bunga betik dan bunga turi misalnya sering dijadikan bahan dalam hidangan tradisional, manakala bunga telang pula terkenal sebagai pewarna semula jadi nasi kerabu.
Rosel turut digunakan untuk menghasilkan minuman yang mempunyai rasa masam menyegarkan.
Amalan makan bunga sebenarnya bukan sesuatu yang baharu.
Sejak ribuan tahun lalu, masyarakat di beberapa bahagian dunia sudah menggunakan bunga tertentu dalam makanan, minuman dan amalan perubatan tradisional.

Selain mencantikkan sajian, sesetengah bunga yang selamat dimakan turut mengandungi nutrien dan sebatian antioksidan, vitamin serta sebatian fenolik yang menyumbang kepada nilai pemakanan.
Menurut perkongsian Chef Sujan Maharjan, terdapat beberapa jenis bunga boleh dipertimbangkan untuk 'menyuntik' kelainan pada sajian.
Setiap jenis mempunyai rasa dan kegunaan tersendiri, bergantung pada kesesuaian hidangan.
1) Bunga pansy
Rasa manis yang lembut dengan sedikit rasa seperti rumput segar dan sayuran.
Warnanya yang terang menjadikannya pilihan menarik untuk menghias kek, pastri dan pencuci mulut.
Bunga ini juga boleh ditambah ke dalam salad segar atau digunakan sebagai hiasan minuman untuk memberikan penampilan lebih menarik.

2) Bunga telang
Bunga telang mempunyai rasa ringan, sedikit berherba dan tidak terlalu manis.
Keistimewaannya terletak pada pigmen biru semula jadi yang boleh menghasilkan warna menarik pada makanan dan minuman.
Selain digunakan untuk mewarnakan nasi kerabu, bunga ini sesuai dijadikan teh herba, campuran nasi, agar-agar dan pencuci mulut.
3) Bunga nasturtium
Bunga nasturtium mempunyai rasa pedas ringan seakan-akan lada dan sedikit rasa manis.
Kelopaknya yang berwarna terang juga sesuai untuk menambah warna pada hidangan.
Bunga ini boleh dimakan bersama salad, makanan laut dan daging panggang.
Rasanya yang sedikit pedas turut sesuai dipadankan dengan keju lembut.
4) Bunga marigold
Bunga marigold daripada jenis tertentu, khususnya Calendula officinalis, mempunyai rasa sedikit pedas, masam dan pahit.
Kelopaknya yang berwarna kuning atau jingga boleh memberikan warna menarik pada sajian.
Kelopak bunga ini boleh ditaburkan ke dalam salad, nasi dan sup atau digunakan untuk memberikan warna pada sos.
MENARIK DIBACA: Petua bilis kekal rangup walau dah gaul sambal... Antaranya guna cuka, asam keping
MENARIK DIBACA: Petua guna cili kering tak 'jalan'? Ini 6 cara lain halau kutu beras
5) Bunga elder
Bunga elder atau elderflower mempunyai aroma harum dengan rasa manis berbau bunga yang lembut.
Bunga kecil berwarna putih kekuningan ini sering digunakan untuk menghasilkan minuman dan ramuan pencuci mulut.
Antara kegunaannya termasuk membuat sirap, minuman berperisa bunga, jem dan gorengan bersalut tepung.
6) Bunga kale
Bunga kale mempunyai rasa sayuran yang ringan, sedikit manis dan boleh menyerupai rasa sayuran daripada keluarga kubis.
Pucuk bunga mudanya boleh digunakan sebagai bahan tambahan dalam masakan.
Bunga ini sesuai ditumis ringkas, dicampurkan ke dalam salad atau dijadikan pelengkap hidangan sayuran.

7) Bunga zucchini
Bunga zucchini atau labu zukini mempunyai rasa lembut, sedikit manis dan menyerupai sayuran muda.
Teksturnya yang halus menjadikan bunga ini sesuai dimasak dengan kaedah yang tidak terlalu lama.
Antara cara popular menikmatinya ialah menggoreng bunga bersalut tepung, mengisi bunga dengan keju dan herba atau menambahkannya ke dalam pasta serta hidangan sayuran.
8) Bunga dianthus
Bunga dianthus, termasuk beberapa jenis bunga teluki, mempunyai rasa sedikit pedas dan beraroma seperti bunga cengkih.
Rasa ini menjadikannya sesuai untuk hidangan yang memerlukan sentuhan aroma bunga.
Kelopaknya boleh digunakan untuk menghias kek, biskut dan pencuci mulut atau ditaburkan pada salad.
Bahagian pangkal kelopak yang berwarna putih wajar dibuang kerana boleh memberikan rasa pahit.
9) Bunga borage
Bunga borage yang berbentuk seperti bintang dan lazimnya berwarna biru mempunyai rasa segar seakan-akan timun.
Ciri-ciri ini menjadikannya sesuai untuk hidangan yang memerlukan rasa ringan dan menyegarkan.
Bunga ini boleh ditambahkan ke dalam salad, minuman sejuk dan hidangan sup sejuk.
Bentuknya yang menarik juga sesuai dijadikan hiasan pada pencuci mulut.

10) Bunga snapdragon
Bunga snapdragon atau Antirrhinum majus mempunyai rasa yang berbeza mengikut jenis, daripada sedikit manis hingga sedikit pahit atau berherba.
Kelopaknya yang mempunyai bentuk unik dan warna terang sesuai untuk memperindah persembahan makanan.
Bunga ini boleh digunakan sebagai hiasan salad, kek dan hidangan pembuka selera.