[V] Ayam RM5 seekor, 'harga runtuh' barangan keperluan tarikan utama Ehsan Family Fiesta 2026
JUALAN kira-kira 1,000 ekor ayam pada harga RM5 seekor, barangan premium dijual pada harga lebih rendah menjadikan Ehsan Family Fiesta 2026 wajib dikunjungi!
Acara ini merupakan festival kekeluargaan dan komuniti yang menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik merangkumi jualan, makanan, hiburan serta pengalaman interaktif untuk seisi keluarga anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Festival selama tiga hari bermula 27 hingga 29 November 2026 ini dijadualkan berlangsung di Pekarangan Parkir Kereta Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam, dengan sasaran kehadiran seramai 10,000 pengunjung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, Ehsan Family Fiesta 2026 merupakan usaha untuk memperkenalkan peranan PKPS, anak-anak syarikat serta rangkaian produk dan inisiatif Ehsan kepada masyarakat dalam suasana lebih santai dan mesra keluarga, di samping mengeratkan hubungan bersama komuniti serta rakan strategik.

“Ehsan Family Fiesta 2026 bukan sekadar platform untuk memperkenalkan produk dan inisiatif PKPS, malah menjadi ruang untuk keluarga dan komuniti meluangkan masa bersama menerusi pelbagai aktiviti, hiburan serta pengalaman menarik.
“Kami berharap festival ini dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat, selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat usaha PKPS dalam menyediakan produk dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di sidang media Ehsan Family Fiesta 2026, Selasa.
Sidang media turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd, Md Fazir Abdul Latif serta Ketua Bahagian Pengurusan Pemegang Taruh, Noor Azreena Abdul Aziz.
Mengenai tarikan utama Ehsan Family Fiesta 2026, Mohamad Khairil memberitahu tarikan utama acara ini adalah Ehsan Market & Experience, yang menampilkan jualan produk Ehsan, Jualan Ehsan Rahmah, Ehsan Marketplace dan pameran produk.
MENARIK DIBACA: Le Cordon Bleu Dusit ungguli pendidikan kulinari terbaik Asia 2 tahun berturut-turut
MENARIK DIBACA: Kolaborasi Hock Kee - KITKAT tawar keenakan coklat dalam sajian kopitiam
Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan menerusi Jualan Ehsan Rahmah Madani yang menawarkan jualan ayam, telur dan pelbagai barangan lain pada harga lebih rendah.
Antara tawaran istimewa yang bakal mencuri perhatian pengunjung ialah jualan ayam RM5 seekor menerusi promosi 'happy hour' dengan sasaran penyediaan kira-kira 1,000 ekor ayam untuk dibawa pulang oleh pelanggan.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai tawaran jualan menarik, selain menyertai aktiviti misi kad setem dan mendapatkan hadiah misteri.
Bagi pengunjung yang ingin meluangkan lebih banyak masa di acara ini bersama keluarga, pelbagai aktiviti turut disediakan antaranya Zumbaton, Senamrobik, Ehsan Family Challenge, pertandingan mewarna, pertandingan tarian, pertandingan memasak berkonsepkan keluarga serta pertandingan makan buah yang bakal memberikan pengalaman menyeronokkan.
Pilihan makanan dan minuman juga tidak kurang menarik menerusi Ehsan Food Fiesta, trak makanan serta gerai vendor yang menawarkan pelbagai hidangan.
Tidak hanya itu, demonstrasi memasak turut menjadi antara pengisian yang bakal memeriahkan festival itu nanti.
Hari pertama penganjuran pada 27 November (Jumaat), pengunjung akan disajikan dengan persembahan hiburan menerusi Malam Alunan Kasih yang menampilkan kumpulan Inteam dan Nowseeheart serta penyanyi Aris Ariwatan.
Untuk hari kedua, pengunjung boleh menyaksikan Showcase SuriaFM@PKPS yang akan menampilkan barisan artis popular tanah air iaitu kumpulan Alpha, Khai Bahar, Nadeera dan Datuk Ameng.
Selain persembahan busker dan aktiviti bersama Suria Wheels, pengunjung turut berpeluang menyertai permainan serta mendapatkan saringan kesihatan yang disediakan di lobi Wisma PKPS.

Kemuncak festival adalah pada 29 November 2026, yang akan menyaksikan majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari disusuli pelbagai aktiviti termasuk pertandingan tarian dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti yang terjejas akibat banjir, PKPS turut mengadakan sesi penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir pada dua acara utama iaitu Malam Alunan Kasih (27 November) dan Majlis Perasmian Ehsan Family Fiesta 2026 (29 November).
Orang ramai khususnya warga Selangor dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan festival ini yang menjanjikan pelbagai pengalaman menarik sepanjang tiga hari penganjuran.