Luar biasa penangan sambal totok Jawa, buat nasi goreng pun sedap!
AROMA tumisan sambal yang semerbak memang cukup membangkitkan selera.
Sambal totok Jawa ini memang bukan calang-calang sambal kerana gabungan pelbagai jenis cili, bawang, ikan bilis goreng dan belacan mampu menghasilkan rasa serta aroma yang cukup istimewa.
Pedasnya terasa, aroma ikan bilis dan belacan pula menonjolkan kehebatan rasanya.
Ditambah sedikit perahan limau, rasa sambal ini cukup sempurna dan tidak hanya tertumpu pada rasa pedas semata-mata.

Menariknya, sambal ini bukan sekadar enak dimakan bersama nasi putih tetapi boleh disimpan sebagai stok dan digunakan untuk memasak nasi goreng.
Hanya perlu ambil beberapa sudu, tumis seketika dan gaulkan bersama nasi. Mudah, cepat dan tidak perlu lagi menyediakan bahan kisar dari awal.
Jom Kuali kongsikan cara penyediaannya seperti yang dikongsikan oleh Akmal Ezzah.
Bahan-bahan
- 18 batang cili padi hijau
- 7 batang cili padi merah
- 2 batang cili merah besar
- 2 batang cili hijau besar
- 5–7 ulas bawang putih
- 3 biji bawang merah
- 2 genggam ikan bilis
- 1 ketul belacan sebesar ibu jari
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Perasa cendawan secukup rasa
- Sedikit perahan limau
- Minyak
MENARIK DIBACA: Pelancong Indonesia persoal sarapan di KLIA2 cecah RM50 - "Kos sara hidup hampir setanding Singapura ke?"
MENARIK DIBACA: Ramai teruja beli tisu murah, kuantiti banyak! Doktor ingatkan tentang risiko kesihatan
Cara-cara penyediaan
- Panaskan minyak di dalam kuali kemudian masukkan cili padi hijau, cili padi merah, cili merah besar, cili hijau besar, bawang putih dan bawang merah. Goreng sehingga semua bahan menjadi layu, angkat dan ketepikan.
- Dalam kuali yang sama, goreng ikan bilis sehingga garing kemudian masukkan belacan dan goreng seketika sehingga naik bau. Angkat dan toskan.
- Masukkan semua bahan cili dan bawang yang telah digoreng ke dalam pengisar. Kisar secara kasar terlebih dahulu.
- Selepas itu, masukkan ikan bilis goreng dan belacan. Kisar sekali lagi sehingga semua bahan sebati dan mencapai tekstur yang diinginkan.
- Pindahkan sambal ke dalam bekas. Masukkan garam, gula dan perasa cendawan secukup rasa dan tambahkan sedikit perahan limau.
- Gaul rata dan rasa sambal. Sesuaikan garam, gula atau perasa mengikut cita rasa masing-masing. Siap untuk dinikmati!