Pelancong Indonesia persoal sarapan di KLIA2 cecah RM50 - "Kos sara hidup hampir setanding Singapura ke?"
SEORANG individu dipercayai pelancong dari Indonesia meluahkan rasa terkejut selepas menganggap harga sarapan di sebuah kopitiam di KLIA2, Sepang sebagai mahal.
Menerusi hantarannya di Threads, individu berkenaan terkejut apabila perlu membayar sebanyak RM49.65 bersamaan 225,532 rupiah untuk hidangan nasi lemak kari ayam dan segelas kopi.
Situasi ini membuatkan dia mempersoalkan sama ada kos sara hidup di Malaysia kini sudah setanding dengan Singapura.
"Sarapan macam ni pun dah mencecah Rp225,532 (USD12.07; CAD17.30).
"Jadi, kos sara hidup di Malaysia sekarang dah hampir setanding dengan Singapura ke?" soalnya.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang berpendapat harga makanan tersebut sememangnya mahal kerana dijual di dalam lapangan terbang.
"Kedai kopitiam ini kalau bukan di lapangan terbang pun memang sudah sedia mahal. Cubalah pergi yang di Kiara Bay, Kepong tu.
"Ini namanya harga lapangan terbang. Harganya sekurang-kurangnya 30 peratus lebih tinggi berbanding tempat-tempat di bandar.
"Pertama sekali, ini memang kopitiam orang kaya. Kedua, awak berada di lapangan terbang," antara komen netizen.
Tidak kurang juga yang mengingatkan bahawa harga makanan mahal di lapangan terbang bukanlah isu yang hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya turut berlaku di negara lain.
MENARIK DIBACA: Cepat lapar ketika puasa sunat dan ganti? Ini tip bantu anda 'steady' sampai petang
MENARIK DIBACA: Petua guna cili kering tak 'jalan'? Ini 6 cara lain halau kutu beras
"Makanan mahal di lapangan terbang merupakan isu global, bukan masalah Malaysia sahaja.
"Awak makan dekat airport. Mestilah harga pun harga airport. Saya pernah order nasi lemak rendang ayam dekat sebuah kedai kopitiam di Senai Airport.
"Harga lebih kurang sama macam yang awak dapat tu tapi bila makan di cawangan sama dalam mall, harganya elok je RM12.90. Lain kali, makan siap-siap sebelum sampai airport. Jimat sikit!" demikian komen individu tersebut.