Si kecil suka sangat menu Rembayung, tapi makan bersepah... Komen KA jadi perhatian
RESTORAN milik pempengaruh masakan, Khairul Aming (KA) iaitu Rembayung terus mendapat perhatian lebih-lebih lagi apabila keperluan pelanggan cilik tidak dipandang ringan.
Terbaharu, seorang wanita dikenali sebagai Filza Aina berkongsi kisah anaknya, Ayyash yang berusia setahun enam bulan menikmati hidangan di restoran berkenaan.
Menerusi perkongsian di Threads, dia berterima kasih kepada KA dan pasukan Rembayung kerana menyediakan makanan khas untuk anak kecilnya.

“Dear Khairul Aming and team Rembayung, terima kasih untuk makanan baby yang sedap.
“Maaf sebab bersepah sikit memandangkan makanan sedap sangat sampai tak cukup mulut nak sumbat. Nasi sedap, cekodok pun sedap. Yang benar, Ayyash, satu tahun enam bulan,” kongsi wanita ini.
Hantaran berkenaan menarik perhatian KA yang turut meninggalkan komen dengan mengingatkan ibu bapa supaya membiarkan anak kecil menikmati waktu makan mereka.
“Tak perlu minta maaf, let kids be kids. Paling penting adik Ayyash approved (lulus) sup ayam dia,” komen KA.
MENARIK DIBACA: Mana satu bagus? Ini 4 jenis susu mengikut 'ranking', dari biasa hingga terbaik
MENARIK DIBACA: Aroma cengkih di rumah cukup menenangkan, tak perlu lagi bakhoor mahal
Hantaran ini turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang memuji usaha menyediakan pilihan makanan bersesuaian untuk kanak-kanak.
Rata-rata bersetuju penyediaan hidangan sebegitu sebagai satu kelebihan buat ibu bapa yang mahu menikmati makanan di restoran bersama anak kecil.
“Bagusnya kids meal real food (makanan sebenar), selalunya nugget, fries.

“Sup ayam KA memang sangat sedap, kami mak pak dia rasa pun boleh suka.
“Baru tahu kenapa KA buat tandas untuk baby juga. Ni la ‘berlemoih’ makan comel, suka betul.
“Adik macam dah food coma,” antara komen netizen.
Perhatian dan kemudahan yang diberikan oleh pengusaha restoran terhadap keperluan pelanggan termasuk anak kecil mampu memberikan nilai tambah dan meninggalkan pengalaman bermakna buat pengunjung.