Bahan-bahan dapur ini berguna untuk halau lipas, semut dan 4 haiwan perosak lain
KEHADIRAN haiwan perosak di rumah seperti lipan, lipas, tikus, anai-anai, lalat dan semut bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada penghuni.
Selain mencemarkan kawasan kediaman, sesetengah haiwan perosak juga berpotensi menyebarkan kuman, merosakkan perabot serta menyebabkan makanan tercemar jika tidak dikawal dengan baik.
Masalah ini boleh berlaku di mana-mana kediaman, sama ada rumah teres, pangsapuri mahupun rumah kampung.
Persekitaran lembap, sisa makanan tidak dibersihkan dan tong sampah dibiarkan terbuka antara faktor yang menarik perhatian haiwan perosak untuk datang dan membiak.
Bagi individu ingin mencuba alternatif menggunakan bahan sedia ada di rumah, beberapa petua ringkas berasaskan bahan dapur boleh dipertimbangkan sebagai cara untuk menghalau atau mengelakkan kehadiran haiwan perosak.

1. Lipan, tabur garam
Garam sering digunakan dalam petua tradisional untuk menghalau lipan yang merayap di sekitar rumah. Pastikan kawasan rumah sentiasa kering dan kemas, tutup rekahan pada dinding serta pasang jaring pada saluran atau laluan yang menjadi laluan haiwan berkenaan.
2. Halau lipas gunakan daun salam
Daun salam sering dikaitkan dengan petua menghalau lipas kerana aromanya agak kuat.
3. Tikus tak suka lada hitam dan serbuk kopi
Bau kuat lada hitam dan serbuk kopi sering dicadangkan sebagai cara untuk menghalang tikus daripada memasuki rumah secara konsisten.
MENARIK DIBACA: Sistem penyejukan puluhan pasar raya digodam! Suhu meningkat, makanan terpaksa dibuang
MENARIK DIBACA: Kecoh jualan ayam tak halal, wanita kongsi pesanan rakan pegawai Jais
4. Semburan air kapur halau anai-anai
Air kapur kapur mengandungi kalsium hidroksida bersifat alkali. Keadaan ini boleh mengganggu sesetengah organisma termasuk anai-anai.

5. Lalat tak suka daun pandan
Daun pandan mempunyai aroma harum dan sering digunakan untuk menyegarkan ruang rumah. Ada petua mencadangkan daun pandan untuk tujuan menghalau lalat.
Cara lebih praktikal ialah menutup makanan, membuang sampah secara berkala dan memastikan tong sampah sentiasa bertutup.

6. Tabur serbuk vanila elak kehadiran semut
Serbuk vanila turut dicadangkan dalam petua untuk menghalau semut kerana aromanya kuat berpotensi mengganggu keupayaan serangga itu mengesan dan mengikuti jejak bau yang ditinggalkan oleh semut lain.
Petua menggunakan bahan dapur boleh dicuba sebagai langkah tambahan, tetapi elak daripada bergantung sepenuhnya bagi menangani masalah haiwan perosak.
Menjaga kebersihan, menutup laluan masuk dan menghapuskan sumber makanan merupakan langkah penting untuk mengurangkan kehadiran haiwan berkenaan.
