Sistem penyejukan puluhan pasar raya digodam! Suhu meningkat, makanan terpaksa dibuang
BEBERAPA rangkaian pasar raya di Eropah dilaporkan berdepan gangguan sistem penyejukan selepas disyaki menjadi sasaran serangan siber yang menyebabkan suhu peti sejuk dan peti beku meningkat secara mendadak.
Insiden yang berlaku pada awal pagi Isnin itu membabitkan puluhan cawangan pasar raya di Belgium dan Luxembourg, selain beberapa premis di Sweden dan Estonia.
Menurut laporan media antarabangsa, antara rangkaian pasar raya yang terjejas ialah Ahold Delhaize, Colruyt, ICA dan Coop.
IKEA turut mengesahkan sebuah cawangannya di Belgium mengalami masalah sama sehingga menyebabkan sebahagian produk makanan terpaksa dikeluarkan dari rak jualan.

Pesuruhjaya Makanan Kesatuan Eropah (EU), Christophe Hansen menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan yang disengajakan untuk menjejaskan keyakinan pengguna terhadap bekalan makanan di rantau berkenaan.
Dia bagaimanapun menegaskan bahawa setakat ini, tiada risiko terhadap keselamatan bekalan makanan EU.
MENARIK DIBACA: Pengasas Boat Noodle dan BananaBro meninggal dunia
MENARIK DIBACA: Kecoh jualan ayam tak halal, wanita kongsi pesanan rakan pegawai Jais
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penyejukan Belgium, Sabcobel, Stephan Moelans memaklumkan bahawa kejadian itu dipercayai berpunca daripada serangan siber.
Menurutnya, penyerang dipercayai sengaja mengubah tetapan penyejat pada unit penyejukan kepada mod nyahbeku (defrost mode) menyebabkan suhu meningkat dan sistem gagal mengekalkan keadaan sejuk seperti biasa.
Satu insiden terdahulu dipercayai mempunyai persamaan dengan serangan siber yang berlaku di Perancis pada bulan lalu, apabila penggodam didakwa berjaya mengambil alih sistem penyejukan di ratusan pasar raya.

Serangan berkenaan menyebabkan suhu unit penyejukan meningkat sehingga 50 darjah celsius mengakibatkan kerosakan makanan dan kebakaran di beberapa lokasi.
Serangan terkini turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peralatan yang kini boleh dipantau dan dikawal dari jarak jauh menggunakan rangkaian komputer.
Selain peti sejuk dan sistem pemanasan, peralatan seperti kamera keselamatan serta sistem penggera juga berpotensi menjadi sasaran penjenayah siber sekiranya mempunyai kelemahan keselamatan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Tiada kumpulan atau individu tampil mengaku bertanggungjawab terhadap insiden yang dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah itu.
