Bosan ayam goreng biasa? Cuba versi letak serai, sekejap je licin pinggan
AYAM goreng menjadi antara hidangan yang cukup digemari ramai lebih-lebih lagi jika luarnya rangup dan isi kekal 'juicy'.
Kebanyakan kita sudah terbiasa dengan hidangan seperti ayam goreng celup tepung, ayam goreng bawang mahupun ayam goreng kunyit.
Sekali sekala apa kata cuba sesuatu yang berbeza bagi menambah variasi hidangan di rumah?
Wanita dikenali sebagai Mieya Maya berkongsi resipi ayam goreng serai yang menggunakan bahan kisar seperti bawang kecil, bawang putih dan serai sebagai bahan utama perapan.

Bukan sahaja menghasilkan aroma cukup menyelerakan, ayam turut digoreng menggunakan teknik dua kali atau 'double frying' bagi mendapatkan tekstur lebih rangup di luar tanpa mengeringkan isi di dalam.
Bagi yang ingin mencuba, berikut resipi ayam goreng serai perkongsian Mieya Maya.
Bahan-bahan
- Seekor ayam
Bahan kisar
- 6 biji bawang kecil
- 10 ulas bawang putih
- 5 batang serai
- ½ sudu kecil biji ketumbar
- Sedikit air
Bahan perasa
- 4 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 sudu besar mushroom seasoning
- 2 sudu serbuk lada putih
- 1 sudu sos tiram
Bahan salutan
- 2 sudu tepung ubi kayu
- 2 sudu tepung gandum
MENARIK DIBACA: Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
MENARIK DIBACA:Rahsia sandwic telur kedai serbaneka sedap, tahan lama! Buat sendiri puas makan
Cara penyediaan
- Masukkan bawang kecil, bawang putih, serai dan biji ketumbar ke dalam pengisar. Tambahkan sedikit air dan kisar sehingga halus.
- Masukkan ayam yang sudah dipotong ke dalam bekas, kemudian campurkan bahan kisar bersama semua bahan perasa.
- Gaul sehingga sebati dan pastikan setiap bahagian ayam bersalut dengan bahan perapan.
- Perap ayam sekurang-kurangnya 30 minit hingga dua jam supaya bahan perapan meresap.
- Sebelum digoreng, masukkan tepung ubi kayu dan tepung gandum. Gaul sehingga semua bahagian ayam bersalut rata.
- Panaskan minyak dan goreng ayam menggunakan api sederhana sehingga masak.
- Angkat ayam dan biarkan berehat selama kira-kira 10 minit.
- Untuk mendapatkan tekstur lebih rangup, goreng semula ayam menggunakan api besar selama satu hingga dua minit bagi setiap bahagian.
- Angkat dan toskan minyak sebelum dihidangkan.
